DUBAI: Iran telah menyediakan rancangan terperinci untuk menyasarkan kabel komunikasi dasar laut di Teluk sekiranya Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan semula serangan ketenteraan terhadap negara itu, menurut laporan Reuters.
Dua pegawai kanan keselamatan Iran yang dipetik Reuters berkata, Tehran turut merancang menghalang kerja pembaikan kabel yang rosak bagi memanjangkan gangguan komunikasi, termasuk perkhidmatan internet.
Bagaimanapun, kedua-dua pegawai yang bercakap tanpa nama itu tidak memperincikan lokasi atau kaedah serangan yang dirancang.
Menurut laporan itu, pegawai kanan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Yadollah Javani, pada 21 Oktober lalu turut memberi amaran bahawa tujuh kabel internet utama di bawah Selat Hormuz boleh menjadi sasaran sekiranya infrastruktur Iran diserang.
“Jika Iran diserang, tiada lagi garis merah,” kata seorang pegawai berkenaan, merujuk kepada kemungkinan sasaran termasuk kabel dasar laut dan pangkalan tentera.
Ancaman itu mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan infrastruktur komunikasi antarabangsa memandangkan kabel gentian optik dasar laut membawa kira-kira 99 peratus trafik data internet antarabangsa di seluruh dunia.
Bagaimanapun, Alan Mauldin, pengarah penyelidikan firma analisis telekomunikasi TeleGeography, berkata kurang daripada satu peratus kapasiti jalur lebar antarabangsa melalui Selat Hormuz, sekali gus mengehadkan kemungkinan kesan gangguan terhadap internet global.
Menurut penganalisis, kerosakan terhadap beberapa kabel secara serentak boleh memperlahankan sambungan internet serta mengganggu transaksi kewangan, perdagangan elektronik dan perkhidmatan pengkomputeran awan, bergantung pada kapasiti laluan alternatif yang tersedia.
Kerja pembaikan juga berisiko mengambil masa lebih lama sekiranya konflik berterusan, berikutan kesukaran mendapatkan akses ke perairan terjejas, kos insurans yang meningkat serta ancaman keselamatan terhadap kapal pembaikan.
Dalam perkembangan berkaitan, pegawai kanan keselamatan Iran, Mohsen Rezaei, sebelum ini memberi amaran bahawa kemudahan digital yang mempunyai kaitan dengan AS di rantau Teluk, termasuk pusat data dan kemudahan kecerdasan buatan (AI), turut berpotensi menjadi sasaran sekiranya serangan baharu dilancarkan.
Menurut laporan Reuters, ancaman itu dilihat sebagai usaha Tehran meningkatkan tekanan terhadap Washington dan negara-negara Teluk yang mempunyai pelaburan besar dalam infrastruktur teknologi, bagi menghalang konflik ketenteraan baharu.
Jabatan Negara AS dan Kementerian Luar Iran tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mengulas ancaman berkenaan, manakala tiada kenyataan segera daripada negara-negara Teluk dilaporkan.










