KUALA LUMPUR: Kehadiran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) atau BERSAMA berpotensi mempengaruhi persaingan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, meskipun parti itu dilihat sukar memenangi kerusi, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.
Beliau berkata, isu yang diketengahkan BERSAMA tidak banyak berbeza dengan PH, sekali gus menjadikan parti itu antara cabaran yang perlu diberi perhatian.
“Kesepakatan dalam kalangan parti komponen PH penting bagi mengelakkan sebahagian penyokong beralih kepada parti BERSAMA, terutama dalam persaingan mendapatkan sokongan pengundi baharu.
“Kita tahu kemampuan BERSAMA. Memang parti ini agak baharu tetapi kita tidak anggap BERSAMA sebagai kecil,” katanya.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, perbezaan undi yang kecil boleh menentukan kemenangan atau kekalahan sesebuah parti, justeru PH perlu memastikan sokongan pengundi kekal kukuh.
Beliau memberikan contoh keputusan pilihan raya terdahulu di Bukit Katil yang menyaksikan majoriti kemenangan pernah sekitar 40 undi, selain persaingan di Pengkalan Batu yang turut dipengaruhi undi calon Bebas.
“Parti BERSAMA mungkin tidak akan menang (kerusi), tetapi mereka boleh mengganggu mana-mana parti yang akan bertanding untuk mencapai kemenangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan kesepakatan dalam kalangan parti komponen PH bagi menghadapi persaingan pada PRN Melaka.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Adly memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dengan memperoleh 11,226 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas PH membentuk kerajaan negeri. Bagaimanapun, selepas kejatuhan kerajaan PH pada 2020, Adly kembali bertanding di Bukit Katil pada PRN Melaka 2021 dan menang dengan majoriti 1,057 undi.










