TH Bukan Bank, Tetap Patuh Mandat Akta – Zulkifli

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) tidak akan beroperasi seperti institusi perbankan kerana segala urusannya tertakluk kepada mandat dan tanggungjawab yang ditetapkan di bawah Akta Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata TH akan terus mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan ketika menjawab kritikan terhadap cadangan menetapkan simpanan minimum RM15,000 bagi bakal jemaah haji.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) bahawa cadangan itu boleh menyebabkan TH bertindak seperti sebuah bank, selain membebankan pendeposit.

Terdahulu, Idris meminta kerajaan membatalkan cadangan berkenaan kerana dikhuatiri menyukarkan umat Islam membuat persediaan menunaikan haji.

Zulkifli berkata, keperluan simpanan minimum itu bertujuan memastikan bakal jemaah mempunyai kemampuan kewangan mencukupi, selain mengurangkan kes penolakan atau penangguhan tawaran haji.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, dilaporkan lebih 80 peratus daripada kira-kira 4.1 juta pendeposit berdaftar masih belum mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM15,000.

Bagaimanapun, cadangan itu menerima bantahan pembangkang.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berpandangan jumlah simpanan tidak semestinya mencerminkan kemampuan sebenar seseorang, manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bimbang kira-kira tiga juta pendeposit berisiko terjejas dalam giliran menunaikan haji sekiranya syarat itu dilaksanakan.

BBerkaitan

Latest articles