KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri dalam gabungan SG4 mahu memperkukuh pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di sepanjang laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi meningkatkan pengangkutan barangan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembangunan ECRL perlu memberi penekanan lebih besar kepada pengangkutan barangan berbanding penumpang, selaras dengan peranan rangkaian kereta api dalam menyokong sektor perindustrian.
Menurutnya, nisbah ideal yang boleh dipertimbangkan ialah 70 peratus pengangkutan barangan dan 30 peratus penumpang.
Beliau berkata, Terengganu sudah memperuntukkan kawasan berhampiran stesen ECRL bagi membolehkan IKS dibangunkan, sekali gus memudahkan pengusaha menghantar produk mereka.
“Perkara seperti ini perlu diperkukuh supaya industri kecil dapat berkembang dan menggunakan kemudahan stesen berdekatan untuk mengangkut barangan,” katanya ketika sidang media selepas SG4 Business and Economic Forum 2026.
Mengulas cadangan peluasan rangkaian rel ke Thailand, Ahmad Samsuri berkata, langkah itu berpotensi memberikan manfaat kepada Malaysia, khususnya negeri-negeri yang terlibat, melalui akses kepada pasaran lebih besar di selatan Thailand.
Beliau turut menegaskan hubungan lebih baik antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi memastikan projek infrastruktur yang menjadi keutamaan negeri diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan negara.
Katanya, kerajaan negeri perlu diberikan ruang lebih besar untuk menentukan keutamaan pembangunan masing-masing, berbanding bergantung sepenuhnya kepada keputusan kerajaan Persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan pembangunan KSP Cargo Airport masih menunggu penyelesaian dua perkara berkaitan kelulusan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, enam daripada lapan perkara yang dinasihatkan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sudah dipenuhi, manakala dua lagi membabitkan lesen aerodrom serta Pelan Strategik Aeroangkasa Negara (NASP).
Menurutnya, urusan lesen aerodrom melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), manakala NASP sedang diuruskan Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Dua-dua perkara itu di bawah bidang kuasa Persekutuan. Enam lagi sudah kita penuhi, jadi kita harap kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan proses kelulusan,” katanya.
Sanusi berkata, projek berkenaan menggunakan model pembiayaan inisiatif kewangan swasta (PFI), bukannya dibiayai kerajaan negeri atau Persekutuan secara langsung.
Menerusi model itu, pihak pelabur membangunkan infrastruktur, manakala kawasan industri disediakan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan menampung kos pembangunan infrastruktur berkenaan.
Beliau berkata, kelewatan mendapatkan kelulusan menyebabkan pelabur masih menunggu sebelum meneruskan pelaburan, sekali gus mempengaruhi garis masa pelaksanaan projek.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, SG4 juga terbuka untuk meneroka penggunaan reaktor nuklear berskala kecil bagi menjana tenaga di Malaysia.
Menurutnya, pendekatan itu berbeza daripada pembangunan loji nuklear berskala besar dan wajar dikaji berdasarkan kesesuaian serta peluang yang tersedia.
Beliau berkata, pihaknya terbuka untuk meneliti potensi teknologi berkenaan, termasuk di negeri-negeri SG4, sekiranya terdapat peluang untuk melaksanakannya pada masa hadapan.










