SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mengadakan pertemuan khas melibatkan semua pihak berkaitan susulan kontroversi dakwaan kelewatan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, bagi mencari penyelesaian secara menyeluruh.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, perbincangan itu akan menghimpunkan waris si mati, pihak pengurusan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menurut beliau, inisiatif itu diambil bagi meredakan keadaan selain mengenal pasti langkah penambahbaikan agar kejadian sama tidak berulang pada masa depan.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga yang terkesan dengan insiden tersebut dan berharap mereka diberikan ketabahan menghadapi saat sukar kehilangan insan tersayang.
Dalam masa sama, Salehuddin memberi jaminan bahawa MAIS tidak akan berkompromi sekiranya siasatan polis mendapati wujud unsur jenayah, kecuaian atau kelemahan komunikasi yang menjadi punca kepada kejadian berkenaan.
“Sebarang tindakan akan dipertimbangkan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, MAIS turut mengambil maklum penjelasan awal yang dikeluarkan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, yang menjelaskan kronologi kejadian berdasarkan maklumat daripada pihak pengurusan masjid.
Katanya, pihaknya juga dimaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat oleh pengurusan masjid, waris serta BKS bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan atau spekulasi sehingga siasatan polis selesai dan keputusan rasmi diperoleh.
Selain menunggu hasil siasatan, MAIS juga akan melakukan semakan terhadap prosedur pengurusan jenazah di masjid-masjid di Selangor bagi mengenal pasti sebarang kelemahan yang memerlukan penambahbaikan.
Menurut Salehuddin, langkah itu penting bagi memastikan setiap urusan pengendalian jenazah dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, berintegriti, mematuhi hukum syarak serta memenuhi harapan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya terus memelihara perpaduan dan tidak membiarkan perbezaan pandangan dalam isu berkenaan mencetuskan persengketaan atau menjejaskan ukhuwah sesama Islam.










