ALOR SETAR: Kedah merekodkan kes rabies atau anjing gila dalam kalangan manusia yang pertama sejak tahun 1998, selepas seorang lelaki tempatan disahkan meninggal dunia akibat jangkitan maut itu pada 27 September lalu.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dalam satu kenyataan media memaklumkan, mangsa merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 31 tahun dari Kubang Pasu yang dilaporkan digigit oleh seekor anjing terbiar pada Ogos lalu.
Menurut JKN Kedah, mangsa pernah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sejurus selepas kejadian tersebut, namun malangnya tidak menerima profilaksis pascapendedahan atau post-exposure prophylaxis (PEP) rabies.
“Pada 18 September 2026, mangsa mula mengalami kelesuan, kelemahan, dan kebas pada anggota atas kanan sebelum gejala itu berkembang kepada kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan serta perubahan tingkah laku pada 22 September lalu, selaras dengan manifestasi klinikal rabies,” menurut kenyataan itu.
Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan semula pada 23 September dan dirujuk untuk rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sampel klinikal telah diambil pada 24 September dan keputusan ujian makmal pada 26 September mengesahkan mangsa dijangkiti rabies.
Mengulas mengenai situasi semasa, JKN Kedah mendedahkan bahawa sebanyak 502 kes gigitan dan cakaran haiwan telah dilaporkan di Kedah sehingga Ogos 2026.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 65.3 peratus kes melibatkan anjing, diikuti kucing sebanyak 23.1 peratus dan haiwan lain sebanyak 11.6 peratus.
“Sebanyak 56.2 peratus daripada kes melibatkan haiwan peliharaan, manakala 43.8 peratus lagi melibatkan haiwan terbiar,” jelas kenyataan itu lagi.
Susulan pengesahan kes ini, JKN Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah serta pihak berkuasa berkaitan telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan secara menyeluruh.
Langkah yang digerakkan termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan, pengukuhan survelan kes gigitan haiwan, penilaian risiko serta tindakan kawalan terhadap haiwan terbiar di kawasan terlibat.
Memandangkan kes ini adalah kes rabies manusia pertama dilaporkan di Kedah sejak tahun 1998, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama JKN Kedah dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan epidemiologi secara menyeluruh bagi mengenal pasti sumber jangkitan dan laluan pendedahan.
“Siasatan merangkumi penelitian sejarah perjalanan, pengenalpastian kontak, faktor risiko serta analisis garis masa kejadian.
“Tindakan kawalan kini diperkukuh menerusi pendekatan One Health melalui pengesanan dan pengurusan pendedahan manusia, survelan gigitan haiwan, pemantauan dan penilaian risiko terhadap anjing serta haiwan berpotensi terdedah, selain pelaksanaan tindakan kawalan di kawasan berisiko tinggi.
“Usaha ini turut diperkasakan melalui pendekatan whole-of-nation yang melibatkan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti setempat,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, JKN Kedah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga kerana rabies boleh menular melalui gigitan, cakaran atau pendedahan kepada air liur haiwan yang dijangkiti.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan anjing dan kucing peliharaan menerima vaksinasi anti-rabies mengikut nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Selain itu, elakkan daripada mendekati, menyentuh atau memberi makan kepada haiwan terbiar serta jangan mengambil atau memelihara haiwan yang tidak diketahui status kesihatan dan vaksinasi rabiesnya,” tegas pihak jabatan kesihatan itu.
Pihak berkuasa turut mengingatkan sekiranya seseorang digigit atau dicakar oleh haiwan, mangsa perlu segera mencuci luka dengan sabun dan air mengalir selama sekurang-kurangnya 15 minit, serta segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta yang berhampiran tanpa menunggu sehingga timbulnya sebarang gejala.
“Mana-mana individu yang pernah digigit, dicakar atau terdedah kepada air liur haiwan yang berisiko dijangkiti rabies dinasihatkan supaya segera mendapatkan penilaian di fasiliti kesihatan berhampiran, walaupun luka tersebut telah sembuh.
“Orang ramai juga diingatkan agar tidak mengendalikan bangkai haiwan yang mati tanpa diketahui punca kematiannya, dan sebarang kejadian melibatkan haiwan yang disyaki dijangkiti rabies hendaklah dilapor segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah atau Pihak Berkuasa Tempatan,” tambah kenyataan itu.
JKN Kedah menyeru orang ramai supaya mengambil serius setiap kejadian gigitan atau cakaran haiwan kerana tindakan segera selepas pendedahan serta pemberian PEP yang bersesuaian amat penting dalam mencegah rabies yang boleh membawa maut.










