​KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli supaya segera meletakkan jawatan sekiranya gagal menyatakan pendirian secara jujur dan terbuka berhubung dakwaan kaitan dengan ajaran New Age Movement (NAM).
​Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya memandang serius kenyataan rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertarikh 27 September 2026 yang mengesahkan wujudnya siasatan serta pertemuan berkaitan isu penyebaran unsur tersebut yang dikaitkan secara langsung dengan pemimpin berkenaan.
​Menurut DUPP, isu yang menyentuh soal akidah umat Islam tidak boleh dipandang enteng atau diselesaikan hanya di belakang pintu tertutup, lebih-lebih lagi ia melibatkan individu yang memegang amanah menjaga hal ehwal agama di peringkat pentadbiran negara.
​”Sehubungan itu, kami mendesak Timbalan Menteri untuk tampil bertanggungjawab dan menyatakan pendirian terkininya secara jujur dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia..
“Setakat kenyataan-kenyataan beliau yang terkini, beliau dilihat masih mengelak dan bermain tarik tali dalam isu yang sangat kritikal ini,” ujar beliau menerusi kenyataan media.
​Mengulas lanjut, DUPP menegaskan bahawa kesucian akidah adalah garis merah yang tidak boleh dipertaruhkan.
Jelasnya, kedudukan di bawah portfolio agama menuntut integriti akidah yang tidak berbelah bahagi, suci, dan benar.
​Sehubungan dengan itu, DUPP turut mengemukakan beberapa tuntutan tegas termasuk menuntut Timbalan Menteri tersebut segera meletakkan jawatan bagi membersihkan imej institusi agama negara dan mendesak agar beliau disiasat secara terperinci dan telus oleh pihak penguatkuasa agama bahagian ajaran sesat.
Jelasnya, beliau wajib​melalui proses kaunseling pemulihan serta menyatakan taubat secara rasmi sekiranya terbukti wujud penyelewengan akidah.
​Dalam pada itu, DUPP turut menggesa Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) agar segera campur tangan susulan timbulnya keresahan dan kegusaran yang meluas dalam kalangan umat Islam terhadap isu berbangkit.
​”Persoalan besar yang bermain di minda seluruh umat Islam pada hari ini ialah bagaimana umat Islam di Malaysia boleh merasa selamat dan aman jika urusan agama peringkat persekutuan dipimpin oleh orang yang diragui dan dipertikaikan akidahnya?” tambah kenyataan itu lagi.










