Mahkamah Benarkan Injunksi Sementara Anwar Terhadap Sanusi

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mahazan Mat Taib pada semalam membenarkan injunksi sementara yang dimohon Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor daripada terus mengulangi kenyataan mengaitkannya dengan “perlakuan tidak bermoral”.

Saman berkenaan difailkan Perdana Menteri pada Disember lalu, selepas pemimpin PAS Kedah itu didakwa menyindir Anwar sebagai “tiada akhlak”.

Sehubungan itu mahkamah melarang Sanusi, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), bersama kakitangan dan ejennya mengulangi kenyataan fitnah tersebut sehingga saman itu selesai.

Peguam SN Nair yang mewakili Anwar berkata, Sanusi “degil dan tekad” mengulangi ucapan serta kenyataan fitnah sama dalam dua ceramah baru-baru ini, walaupun sedar saman itu belum selesai.

“Jika beliau mengulangi perkara sama dan melanggar syarat injunksi, ia merupakan penghinaan mahkamah dan tertakluk kepada prosiding komital serta boleh dikenakan ganti rugi.”

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa Sanusi membayangkan dirinya menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen, penipu, pengkhianat, munafik dan bukan umat Islam yang baik.

Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan penuh pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya – iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat – atas alasan berlaku “salah laksana keadilan”.

Katanya, pengampunan itu juga diperkenan atas dasar berlaku konspirasi untuk memusnahkan karektornya.

BBerkaitan

Latest articles