Kumpulan masyarakat sivil menggesa kerajaan agar mempertimbangkan semula projek LRT yang akan dibiayainya, serta membatalkan projek tebus guna tanah besar-besaran di negeri itu.
Projek itu akan menjadi “beban kewangan”, kata aktivis sosial Lim Mah Hui, yang terdiri daripada antara pemimpin komuniti lain yang menggesa projek tebus guna tanah besar-besaran Selatan Pulau Pinang (PSI) turut dibatalkan.
“Walaupun kami gembira kerajaan persekutuan akan membantu membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, kami telah lama menyatakan bahawa LRT itu sendiri bukanlah projek yang sesuai,” kata Lim.
“Ia akan menjadi beban kewangan, kerajaan akan menanggung kerugian besar bagi tempoh yang lama, ia tidak mampan dari segi kewangan,” kata Lim, bekas pegawai bank antarabangsa.
“Kami harap mereka tidak teruskan (projek) LRT dan memikirkan semula pelan pengangkutan induk. Bagi rancangan mengurangkan tebus guna tanah, mereka juga harus membatalkannya sepenuhnya,” katanya seperti yang disiarkan portal FMT.
Kerajaan negeri sebelum ini menganggarkan kos sebanyak RM9.5 bilion untuk membina LRT dari George Town ke lapangan terbang. Menurut kerajan negeri, projek LRT tersebut dan beberapa lebuh raya lain, akan dibiayai oleh pembangunan tiga pulau buatan seluas 17km persegi di luar pantai selatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Sabtu lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan persekutuan akan membiayai projek LRT dan mengurangkan skop projek PSI.
Presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman berkata, tiada justifikasi untuk meneruskan tebus guna tanah jika ia tidak lagi diperlukan untuk mengumpul dana bagi pembinaan LRT.
“Sama ada satu atau tiga pulau (dibangunkan), ia tetap akan merosakkan kawasan sensitif alam sekitar dan tempat pembiakan ikan,” katanya.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata, laporan Jabatan Alam Sekitar menyatakan bahawa projek itu akan menyebabkan kerosakan yang tidak boleh dipulihkan.
Bagaimana dengan bas?
Khoo Salma Nasution daripada Penang Forum berkata, masih terlalu awal untuk Putrajaya memulakan projek LRT kerana terdapat masalah lalu lintas lain lebih mendesak yang masih belum ditangani, seperti penggunaan bas yang rendah dalam kalangan penduduk Pulau Pinang.
“Jika bas kosong, bagaimana (projek) LRT hendak berjaya? Saya rasa, masih terlalu awal untuk kerajaan persekutuan bersetuju meneruskan projek LRT kerana kerajaan Pulau Pinang masih belum berusaha melaksanakan penyelesaian hubungan batu pertama dan terakhir,” katanya.
Bendahari Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Pulau Pinang Zulfikar Aziz berkata, masalah seperti kekurangan bas dan pemandu yang dialami Rapid Penang serta bas-bas yang semakin uzur harus diselesaikan sebelum kerja-kerja pembinaan LRT dimulakan.
“Kami percaya pengumuman perdana menteri itu bukan yang terbaik bagi pengguna pengangkutan awam Pulau Pinang kerana pada masa ini, masih terdapat masalah membabitkan kemerosotan perkhidmatan bas.