AADK Perangi ‘Dadah Zombie’, Kit Ujian Fentanil Diguna Seluruh Negara Mulai Jun

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperhebat usaha membanteras penyalahgunaan dadah sintetik apabila mula menggunakan kit ujian khas bagi mengesan fentanil atau lebih dikenali sebagai ‘dadah zombie’ mulai bulan depan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, peralatan tersebut akan diedarkan ke seluruh pejabat AADK di negara ini bagi memperkukuh pengesanan dadah baharu yang semakin membimbangkan.

Menurut beliau, langkah itu sekali gus menepis dakwaan bahawa agensi berkenaan tidak mampu mengesan penggunaan fentanil dan bahan sintetik moden lain.

“Mulai Jun, kita akan jalankan operasi dan menggunakan alat ujian tersebut untuk mengesan bahan terlarang terbabit,” katanya kepada pemberita selepas Program Penghayatan Nilai-nilai Murni Sempena Aidiladha dan Ibadah Korban AADK 2026 di INSCORE PUSPEN Sepang hari ini.

Ruslin berkata, pada peringkat awal AADK akan mengumpul data hasil penggunaan kit ujian berkenaan bagi menilai tahap keberkesanannya mengenal pasti jenis dadah digunakan penagih.

Katanya, sebarang maklumat dan data yang diperoleh selepas itu akan digunakan bagi tindakan penguatkuasaan serta proses perundangan.

Beliau mengakui kemunculan dadah sintetik baharu kini menjadi cabaran utama kepada AADK termasuk trend penyalahgunaan bahan terlarang melalui cecair vape.

“Dulu kita lebih tertumpu kepada dadah tradisional seperti heroin dan ganja, tetapi sekarang cabaran berubah dengan kemunculan fentanil, ganja sintetik dan kokain.

“Kebanyakan dadah ini pula dicampur dalam bentuk cecair dan disedut menggunakan vape,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut berdepan peningkatan penggunaan ‘polydrug’, iaitu pengambilan dua atau lebih jenis dadah secara serentak atau berturut-turut yang memberi kesan lebih berbahaya kepada pengguna.

Dalam perkembangan sama, Ruslin menegaskan masyarakat tidak seharusnya terkeliru dengan istilah ‘magic mushroom’ yang digunakan di negara ini.

Katanya, hasil ujian AADK mendapati bahan yang dipanggil ‘magic mushroom’ di Malaysia sebenarnya bukan kulat organik mengandungi psilocybin, sebaliknya ganja sintetik dalam bentuk cecair.

BBerkaitan

Latest articles