KUALA LUMPUR: Proses penutupan ladang babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat kini memasuki fasa akhir apabila kira-kira 30 ladang dengan baki 11,000 ekor babi sedang dikosongkan secara berperingkat.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, tiada lagi kemasukan anak babi baharu ke kawasan terbabit sejak arahan penutupan dikeluarkan Februari lalu.
Menurut beliau, baki ternakan yang masih ada ketika ini belum mencapai tahap matang untuk dilupuskan atau dihantar ke pusat penyembelihan di Rawang.
“Proses itu sedang berjalan secara berperingkat dan dijangka selesai tidak lama lagi,” katanya pada program Ibadah Korban Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor di Surau Haji Hassan, Sijangkang, Kuala Langat.
Minggu lalu, media melaporkan semua ladang babi di Tanjong Sepat akan ditutup sepenuhnya menjelang penghujung bulan depan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bermula 1 Julai.
Langkah tersebut dibuat susulan ketegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi diteruskan di mana-mana daerah di negeri itu.
Pada 12 Januari lalu, baginda dilaporkan murka terhadap cadangan kerajaan negeri yang mahu membenarkan penternakan babi berskala besar di Tanjong Sepat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Dalam perkembangan sama, Izham berkata kerajaan negeri akan membantu seramai 87 pengusaha ladang yang terjejas untuk beralih kepada sektor pertanian lain yang lebih berdaya maju.
Katanya, kawasan seluas kira-kira 350 ekar itu berpotensi dibangunkan dengan aktiviti pertanian bernilai tinggi selepas operasi penternakan dihentikan sepenuhnya.
Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan pada 9 Jun depan bagi mengenal pasti pendekatan terbaik membantu penternak termasuk usaha pemulihan tanah di kawasan terlibat.










