Hospital 500 Katil Bakal Dibina Di PJ

KUALA LUMPUR: Hasrat penduduk sekitar Petaling untuk memiliki hospital awam baharu semakin hampir menjadi kenyataan apabila Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju dengan cadangan lokasi tapak pembinaan hospital berkapasiti 500 katil di Petaling Jaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persetujuan itu dicapai selepas satu mesyuarat penyelarasan yang berlangsung pada 14 Mei lalu melibatkan agensi kerajaan Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut beliau, kerajaan negeri komited mempercepatkan segala urusan berkaitan tanah bagi memastikan projek pembinaan Hospital Petaling Jaya dapat direalisasikan demi manfaat jutaan penduduk di kawasan sekitar.

Katanya, lokasi yang dipersetujui KKM dilihat paling sesuai kerana memenuhi beberapa aspek penting termasuk kemudahan akses, kapasiti pembangunan, kos tanah yang lebih optimum serta kedudukannya yang berhampiran kawasan penempatan penduduk.

“Hospital ini bakal memberi manfaat besar kepada penduduk Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong yang semakin bertambah dari tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menjelaskan hospital tersebut akan dibangunkan menggunakan konsep menegak seperti Hospital Ampang, sekali gus membolehkan penggunaan tanah dimaksimumkan tanpa memerlukan kawasan terlalu luas.

Menurut Amirudin, usaha mencari tapak pembinaan hospital awam di daerah Petaling sebenarnya telah digerakkan kerajaan negeri sejak 2018 bagi menampung pertumbuhan populasi yang kini mencecah 2.3 juta penduduk, termasuk kira-kira 800,000 orang di Petaling Jaya sahaja.

Ketika ini, penduduk daerah berkenaan masih bergantung kepada beberapa hospital utama termasuk Hospital Sungai Buloh yang mempunyai 1,037 katil, Hospital Shah Alam (490 katil) serta Pusat Perubatan Universiti Malaya dengan kapasiti 946 katil.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata Selangor mempunyai rekod kerjasama baik bersama KKM dalam menyelesaikan isu berkaitan tanah bagi projek kesihatan awam.

Antara projek yang berjaya direalisasikan termasuk Hospital Cyberjaya dengan kapasiti 288 katil dan Hospital Tanjong Karang yang mempunyai 150 katil serta siap dibina pada 2022.

Selain itu, Hospital Kapar berkapasiti 312 katil dijangka siap hujung tahun ini bagi membantu mengurangkan kesesakan hospital di Klang dan Shah Alam.

Tambah beliau, satu lawatan tapak akan diadakan minggu ini melibatkan pegawai KKM, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pejabat Daerah Petaling bagi memperincikan pelaksanaan projek tersebut.

BBerkaitan

Latest articles