LRT Tergelincir: Pengguna Luah Kebimbangan, Rapid KL Sahkan Punca Kerosakan Suis Landasan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami gangguan serius pagi ini selepas sebuah tren dilaporkan tergelincir daripada landasan, mencetuskan kebimbangan dan rungutan dalam kalangan warga kota yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan insiden tersebut, malah ada yang menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang membahayakan nyawa sekiranya berlaku pada waktu puncak yang lebih padat.

Seorang pengguna Threads, i.shzni, berkongsi gambar dan video memaparkan tren yang terhenti di tengah landasan antara stesen Chan Sow Lin dan Cheras seawal jam 6.15 pagi.

“Punca LRT lambat hari ni! Laluan antara stesen Chan Sow Lin ke stesen Cheras… kesian aunty uncle yang dah berumur kena jalan sikit (di atas landasan),” tulisnya.

https://www.threads.com/@i.shzni/post/DY3FSoWEjbn?xmt=AQG0vayciMix8aAxOVps7gpgGX8FbDjRtvlW48KKAOE3nbOC1JllTHWLuEBU5cygWq9wNrqG&slof=1

Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut mempersoalkan tahap penyelenggaraan aset pengangkutan awam negara.

 

Pengguna bernama hh.tommy mendakwa sering mendengar bunyi pelik pada tren MRT dan LRT serta berharap siasatan segera dijalankan sebelum kemalangan lebih buruk berlaku.

Manakala pengguna farhanozil92 pula mempersoalkan bagaimana sebuah tren boleh tergelincir dari landasan secara tiba-tiba.

Susulan tularnya gambar-gambar insiden tersebut, Rapid KL dalam satu kenyataan media mengesahkan kejadian itu berlaku di kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin pada 28 Mei 2026.

“Rapid KL ingin mengesahkan bahawa sebuah tren telah tergelincir landasan ketika sedang melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin.

“Ini telah menyebabkan tren tersebut tidak dapat bergerak, dan adalah punca jadual perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling pada pagi ini terjejas,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, terdapat seramai 25 orang penumpang di dalam tren berkenaan ketika kejadian berlaku.

Walau bagaimanapun, kesemua mereka telah dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Bagi mengurangkan kesan gangguan kepada pengguna, Rapid Rail telah mengaktifkan pelan perkhidmatan alternatif dan bas perantara percuma:

* Tren Alternatif: Perkhidmatan ‘shuttle’ antara stesen-stesen tertentu seperti Sentul Timur ke Pudu, Cheras ke Bandar Tasik Selatan, dan Ampang ke Pandan Jaya dengan kekerapan antara 4 hingga 8 minit.

* Bas Perantara Percuma: Disediakan untuk laluan antara stesen Hang Tuah, Chan Sow Lin, Maluri, Pandan Jaya, dan Cheras dengan kekerapan 15 hingga 20 minit.

Pihak Rapid KL turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh penumpang dan menasihatkan orang ramai agar terus merujuk saluran media sosial rasmi atau aplikasi MyRapid PULSE untuk maklumat terkini mengenai kerja-kerja pemulihan di lokasi.

BBerkaitan

Latest articles