KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memohon maaf kepada perwakilan parti itu susulan kekalahannya di DUN Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.
Loke berkata, keputusannya bertanding di kerusi berkenaan bukan atas kepentingan peribadi, sebaliknya bertujuan membuktikan DAP mampu meraih sokongan lebih luas daripada pengundi pelbagai kaum.
Namun, beliau mengakui usaha itu belum mencapai sasaran selepas DAP gagal memperoleh sokongan pengundi Melayu dan Orang Asli pada tahap yang diharapkan.
“Saya memohon maaf kepada perwakilan atas kekalahan ini di Chennah,” katanya ketika berucap pada kongres khas DAP hari ini.
Menurutnya, DAP perlu mencari pendekatan baharu bagi memecahkan ‘tembok’ politik perkauman sekiranya mahu memperluas penerimaan parti dalam kalangan rakyat.
Pada PRN itu, Loke tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi.
Susulan kekalahan itu, beliau turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas menerajui parti berkenaan di negeri itu selama 22 tahun.
DAP memenangi sembilan kerusi pada PRN berkenaan, namun gagal mempertahankan Chennah dan Repah.
Bagaimanapun, Loke mengingatkan ahli parti supaya tidak patah semangat kerana DAP mempunyai sejarah panjang berdepan kekalahan sebelum mencapai kejayaan.
Katanya, pengalaman enam dekad dalam pilihan raya membuktikan perjuangan parti tidak seharusnya terhenti hanya kerana keputusan yang mengecewakan.
“Pilihan raya ada menang, ada kalah. Kita sudah ada pengalaman pilihan raya selama 60 tahun. Kita pernah melalui banyak kekalahan, tetapi tidak berputus asa dan terus bergerak ke hadapan.
“Selagi kita tidak berputus asa, masa depan DAP akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,” katanya.










