Lelaki Bina 11 Bonggol Jalan Di Sebelah Rumah Mohon Maaf, Akui Berdepan Masalah Kesihatan

Baru-baru ini tular cerita dari seorang pengguna Facebook berhubung perbuatan jirannya membina 11 bonggol di jalan tepi rumahnya di Kampung Padang Luas, Jertih.

Dipercayai ia dilakukan kerana berang dengan bunyi bising dari kenderaan yang menggunakan jalan itu tanpa mengira masa.

Terbaru, lelaki itu, Nor Muhamad Roslam Harun, 40, memohon maaf atas perbuatannya dan mengakui kesilapannya membina bonggol sebanyak itu dalam jarak tidak sampai 40 meter menyusahkan penduduk keluar masuk ke jalan utama.

“Pagi semalam ada pegawai polis datang jumpa saya. Beliau menasihati saya dengan elok supaya membuang semua bonggol tersebut.

“Jadi semalam juga saya upah sebuah jentolak untuk meratakan semua 13 bonggol termasuk dua bonggol asal yang ada di situ,” katanya.

Roslam membina bonggol tersebut kerana terganggu dengan bunyi kenderaan disebabkan ada pemandu memandu laju di kawasan itu tanpa mengira masa.

“Bilik tidur saya berada di bahagian tepi yang berdekatan dengan jalan itu menyebabkan bunyi bising kereta dan motosikal mengganggu tidur. Saya tertekan sangat dengan masalah ini, tambahan pula saya mempunyai masalah kesihatan tetapi belum lagi mendapatkan rawatan.

“Sebenarnya saya mahu membina bonggol yang landai sahaja tetapi tar itu cepat mengeras menyebabkan ia menjadi bonggol tinggi sehingga tidak boleh dilalui semua kereta kecuali pacuan empat roda,” katanya.

Roslam membelanjakan RM1,080 daripada pengeluaran RM5,000 wang i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membina bonggol-bonggol tersebut.

Latest articles

Related articles

spot_img