Lebih 100 Rohingya Berkumpul Di Pejabat UNHCR Selepas Dakwa Diusir Dari Penempatan

KUALA LUMPUR: Lebih 100 pelarian etnik Rohingya berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, hari ini selepas mendakwa diarahkan meninggalkan penempatan mereka di Kampung Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang.

Difahamkan, seramai 126 pelarian tiba di lokasi berkenaan dengan menaiki tiga buah bas dan kini menunggu bantuan daripada UNHCR bagi mendapatkan penempatan baharu.

Tinjauan di lokasi mendapati kawasan berumput di hadapan pejabat UNHCR dijadikan tempat berteduh sementara oleh kumpulan terbabit.

Sebahagian keluarga turut mendirikan khemah kecil, manakala kanak-kanak dilihat berada bersama ibu bapa masing-masing.

Keadaan di lokasi dikawal anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam.

Difahamkan, perjalanan kumpulan pelarian itu dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur turut dipantau pihak polis bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Seorang wakil pelarian mendakwa mereka sebelum ini diberikan tempoh sebulan untuk mengosongkan kediaman di Kampung Kuala Muda.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu mereka telah berusaha mencari tempat tinggal baharu, namun gagal mendapatkan kediaman yang sesuai sebelum diarahkan keluar.

Sementara itu, seorang lagi pelarian yang mendakwa telah menetap di kawasan berkenaan selama kira-kira 15 tahun berharap UNHCR dapat membantu mendapatkan penempatan baharu untuk mereka sekeluarga.

Beliau berkata, kebajikan anak-anak menjadi keutamaan memandangkan mereka kini tidak mempunyai tempat berteduh yang tetap selain berdepan kekurangan bekalan makanan.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh UNHCR atau pihak berkuasa berhubung dakwaan pengusiran serta tindakan susulan terhadap kumpulan pelarian terbabit.

BBerkaitan

Latest articles