Larian Solo Neow Choo Seong Hampir ke Penghujung, Memorandum Isu Gajah Diserah di Parlimen Esok

RAWANG — Larian solo Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, yang memulakan misi dari Taiping ke Bangunan Parlimen sebagai tanda solidariti terhadap nasib tiga ekor gajah Malaysia di Jepun, kini semakin menghampiri penamat.

The Rakyat Insight (TRI) yang mengikuti Larian Solidariti Bersama DAK sempat bertemu Neow di pintasan Rawang sebelum beliau tiba di pusat pemeriksaan (checkpoint) Selayang sekitar jam 6 petang tadi.

Neow dijadualkan menamatkan lariannya esok dengan menyerahkan satu memorandum di Bangunan Parlimen bagi menggesa perhatian kerajaan terhadap isu kebajikan tiga ekor gajah Malaysia yang kini ditempatkan di Jepun.

Walaupun berdepan kecederaan sejak hari pertama larian, beliau tetap meneruskan misi tersebut.

Neow sebelum ini mengalami kecederaan pada lutut kanan selepas terseliuh ketika cuba mengelak sebuah kenderaan di laluan Padang Rengas menuju Kuala Kangsar.

Kecederaan itu memaksanya menghentikan sementara larian bagi laluan kira-kira 10 kilometer dari Sungai Siput ke Chemor sebelum menyambung semula perjalanan pada sebelah petang menuju Ipoh dan pagi ini beliau yang memulakan perjalanan dari Hulu Bernam dan tiba di Selayang sebentar tadi.

Semangat beliau untuk meneruskan larian meskipun menahan kesakitan mendapat perhatian orang ramai yang mengikuti perkembangan misi itu sejak hari pertama.

Menurut Neow, kesakitan yang dialaminya hanyalah sementara, namun semangat untuk memperjuangkan nasib tiga ekor gajah Malaysia di Jepun iaitu Dara, Amoi dan Kelat terus membara.

Sepanjang perjalanan, beliau menerima sokongan berterusan daripada orang ramai yang memberikan kata-kata semangat.

Larian penutup esok dijangka bermula dari Stadium Selayang menuju Bangunan Parlimen. Neow dijangka disertai beberapa individu yang menyatakan sokongan terhadap misinya, termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum memorandum berhubung kebajikan tiga ekor gajah Malaysia di Jepun diserahkan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

BBerkaitan

Latest articles