PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau berkata, terdapat kontraktor yang sudah melaksanakan kerja dan mencapai kemajuan seperti ditetapkan dalam kontrak, termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), namun masih berdepan kelewatan bayaran.
Menurutnya, keadaan itu boleh menjejaskan aliran tunai syarikat sehingga ada kontraktor terpaksa menutup operasi, malah berdepan saman daripada pembekal bahan dan subkontraktor.
“Berapa banyak kontraktor yang sudah tutup kedai? Berapa banyak di kalangan mereka yang disaman oleh pembekal bahan? Berapa banyak subkontraktor yang menyaman kontraktor?
“KKDW disalahkan, tetapi puncanya orang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kelewatan pembayaran bukan sahaja memberi tekanan kepada kontraktor, malah turut menjejaskan pembekal, kontraktor kecil, pekerja dan penyedia perkhidmatan dalam rantaian ekonomi setempat.
Beliau mengakui kerajaan kini berdepan kekangan fiskal, namun meminta perkara itu diurus dengan lebih sensitif bagi memastikan komitmen yang telah dibuat kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik.
Dalam pada itu, beliau turut menegur pelaksanaan peruntukan yang didakwa tidak selari dengan bajet yang telah diluluskan.
“Yang patut dibayar tidak dibayar, yang tidak perlu dibayar, dibayar. Yang ‘not budgeted for’ dilakukan, yang ‘budgeted for’ tidak dilaksanakan. Itu masalah di hadapan kita. Saya bukan marah, saya ‘hot’ sahaja,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi tempoh berbaki empat bulan tahun ini, KKDW perlu mengurangkan penambahan perkara baharu dan memberi tumpuan kepada penyelesaian projek serta komitmen sedia ada.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua bahagian, jabatan dan agensi di bawah KKDW melaksanakan ‘Operasi Sifar Tertangguh’ bagi menyelesaikan segala isu dan projek yang masih tertangguh.
Operasi itu merangkumi projek, bayaran, isu tanah, utiliti, kontrak, aset serta keputusan yang masih belum diselesaikan.
Ahmad Zahid menegaskan setiap isu perlu mempunyai pihak yang bertanggungjawab, tempoh masa dan keputusan yang jelas.
“Jangan lagi ada masalah yang berpindah dari satu mesyuarat ke satu mesyuarat yang lain tanpa siapa yang benar-benar bertanggungjawab menyelesaikannya.”










