KUALA LUMPUR: UMNO perlu tampil lebih merendah diri dan berani mengakui kesilapan lalu sebagai langkah penting untuk mengembalikan keyakinan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menegaskan pengakuan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya parti itu perlu membuktikan perubahan nyata serta menawarkan idea baharu yang lebih relevan dengan kehendak semasa rakyat.
Menurut beliau, UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada kekuatan naratif lama atau mengharapkan sokongan kembali tanpa usaha memperkenalkan semula parti kepada pengundi, khususnya mereka yang telah hilang kepercayaan.
“Selepas mengakui kesilapan, kita perlu tampil dengan tawaran baharu dan buktikan keupayaan mentadbir jika diberi peluang sekali lagi,” katanya selepas menghadiri Konvensyen 80 Tahun UMNO.
Mengulas lanjut, Khairy berkata tempoh kira-kira satu setengah tahun sebelum PRU16 perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh strategi parti, termasuk membina semula sokongan rakyat yang masih belum pulih sepenuhnya.
Beliau bagaimanapun melihat terdapat perkembangan positif, termasuk peningkatan penyertaan golongan muda, selain menegaskan prestasi kerajaan negeri yang melibatkan UMNO seperti di Johor, Melaka dan Pahang boleh dijadikan contoh kestabilan pentadbiran.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh keperluan memastikan legitimasi kerajaan di peringkat negeri melalui mekanisme demokrasi seperti usul percaya atau tidak percaya di Dewan Undangan Negeri, dengan menekankan kepentingan ketelusan dalam setiap proses.
Khairy menambah, walaupun tidak memegang jawatan rasmi dalam parti ketika ini, beliau tetap bersedia membantu UMNO dalam usaha memperkukuh aspek tertentu demi memastikan parti itu kembali diyakini rakyat.










