KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengambil tindakan sivil terhadap MYNIC Berhad bagi mendapatkan identiti individu atau pihak yang didakwa menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya di sebuah portal berita dalam talian.
Tindakan itu difailkan bagi mendapatkan maklumat pemilik berdaftar domain focusmalaysia.my, susulan penerbitan artikel bertajuk “10 reasons Why KJ isn’t PM material, Malaysians must carefully examine his past track record” pada 10 Mac lalu.
Artikel berkenaan menggunakan nama samaran “pemerhati rasuah”, manakala identiti sebenar penulisnya masih belum dikenal pasti.
Antara maklumat yang dimohon Khairy daripada MYNIC ialah nama pemilik berdaftar, nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran syarikat, alamat, e-mel dan nombor telefon.
Beliau turut mahu mendapatkan butiran hubungan pentadbiran serta teknikal domain itu, selain rekod pendaftaran termasuk tarikh domain didaftarkan dan tamat tempoh, pendaftar bertauliah yang terlibat serta sejarah sebarang perubahan pemilikan.
Berdasarkan dokumen mahkamah, Khairy berkata identiti penulis yang menggunakan nama samaran berkenaan tidak dapat dikenal pasti tanpa campur tangan mahkamah.
Beliau juga memaklumkan bahawa peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada Focus Malaysia Sdn Bhd pada 13 Mac lalu.
Bagaimanapun, syarikat terbabit menafikan menjadi pemilik laman web itu dengan menyatakan keseluruhan perniagaannya telah dilupuskan sekitar 2018.
Dalam afidavit jawapan, MYNIC mengesahkan pihaknya menyimpan maklumat berkaitan pemilik berdaftar domain berkenaan, termasuk butiran hubungan serta maklumat pentadbiran dan teknikal.
MYNIC bagaimanapun menyatakan ia tidak mempunyai halangan untuk menyerahkan maklumat tersebut sekiranya diarahkan oleh mahkamah.
Menurut MYNIC, syarikat yang direkodkan sebagai pemilik domain pada 10 Mac 2026, iaitu tarikh artikel berkenaan diterbitkan, masih kekal sebagai pemilik berdaftar.
Tiada perubahan pemilik domain turut dikesan bagi tempoh antara 10 Mac hingga 18 Jun lalu, iaitu tarikh permohonan Khairy difailkan.
Namun, MYNIC membantah permintaan supaya turut didedahkan dokumen berkaitan surat-menyurat dan komunikasi antara pihak pendaftaran domain, pemilik berdaftar serta pendaftar bertauliah.
Syarikat itu berhujah bahan berkenaan tidak relevan atau tidak diperlukan untuk prosiding yang dicadangkan berhubung tuntutan fitnah tersebut.
MYNIC turut menegaskan kedudukannya sebagai pihak ketiga yang tidak bersalah dan bukan defendan dalam tindakan fitnah yang diambil Khairy.
Dalam pada itu, MYNIC memohon indemniti terhadap sebarang kerugian, liabiliti, kos atau tuntutan yang mungkin timbul sekiranya ia diperintahkan mendedahkan maklumat berkenaan.
Syarikat itu juga memohon supaya kos permohonan serta kos pematuhan terhadap sebarang perintah mahkamah ditanggung sewajarnya.










