KUALA LUMPUR: Amanah menghargai tindakan Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kerusi Parlimen Titiwangsa kepada parti itu.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, pemilihan dirinya untuk dicalonkan di Parlimen berkenaan berdasarkan kepada pengalamannya selama hampir dua tahun menjadi Menteri Wilayah Persekutuan ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan pusat selepas PRU14.
Malah hal itu turut menjadi pertimbangan utama Amanah memilihnya untuk bertanding di Titiwangsa, yang bakal menjadi salah satu kerusi panas pada PRU15.
Untuk rekod, penyandang Parlimen Titiwangsa adalah Datuk Seri Rina Harun yang mewakili Bersatu, yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Untuk makluman, Pakatan Harapan (PH) telah menyerahkan kerusi parlimen Titiwangsa kepada Amanah.
“Ketika menjadi Menteri Wilayah, saya telah bersuara mengenai isu tanah di Kampung Baru, yang mana kawasan itu berada dalam Parlimen Titiwangsa.
“Dalam isu Kampung Baru, saya telah mengerakkan kerja-kerja bagi menyelesaikan isu terbabit,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Amanah mencalonkan Khalid sebagai calon mereka untuk bertanding di Parlimen Titiwangsa.
Pengarah Pilihanraya Amanah, Datuk Asmuni Awi berkata, walaupun keputusan tersebut berisiko tinggi, partinya mengambil keputusan berkenaan bagi memastikan Titiwangsa terus menjadi milik PH pada pilihan raya umum kali ini.
Dalam pada itu, Khalid yakin memenangi parlimen tersebut meskipun terdapat ura-ura BN akan mencalonkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di situ.
Menurutnya, rakyat tidak melihat seseorang calon yang bertanding, sebaliknya mahu melihat gabungan parti politik mentadbir negara dengan bersih.
“Untuk PH, kami akan teruskan pentadbiran kerajaan secara good governance dan telus,” tegasnya.