Khaled: Melayu Perlu Contohi Kesatuan Politik Masyarakat Cina

KUALA LUMPUR: Masyarakat Melayu perlu mengambil iktibar daripada keupayaan masyarakat Cina mengekalkan kesatuan politik meskipun berbeza parti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, perbezaan ideologi dan perdebatan politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk masyarakat bersatu apabila berdepan isu yang menyentuh kepentingan serta masa depan bersama.

“Walaupun mereka berada dalam parti politik yang berbeza, mereka tidak menjadikan perbezaan itu sebagai tumpuan utama,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Menurut Khaled, kekuatan masyarakat Cina terletak pada keupayaan pelbagai kelompok politiknya untuk terus mempertahankan pendirian bersama dalam perkara yang dianggap penting kepada komuniti berkenaan.

Katanya, mereka mungkin berdebat dengan sengit, namun perbezaan tersebut tidak membawa kepada perpecahan sehingga menjejaskan perjuangan bersama.

Beliau memberi contoh isu sekolah Cina, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan kepentingan Kampung Baru sebagai antara perkara yang menyaksikan masyarakat Cina terus menyuarakan pendirian secara kolektif.

“Apabila timbul isu berkaitan masa depan dan kepentingan masyarakat Cina, ada yang bersuara lantang dan ada yang memilih pendekatan lebih sederhana. Namun, mereka tidak berhenti bercakap secara bersama.

“Itulah kekuatan mereka,” katanya.

Mengulas keadaan masyarakat Melayu, Khaled berkata perpecahan politik yang berlarutan telah melemahkan kedudukan komuniti itu serta menyukarkan usaha memperjuangkan kepentingan bersama.

Justeru, beliau menegaskan bahawa kesatuan Melayu tidak semestinya menuntut semua pihak meninggalkan identiti atau pendirian politik masing-masing.

Sebaliknya, kerjasama perlu dibina berasaskan keupayaan untuk mengetepikan perbezaan apabila berdepan isu yang menyentuh kepentingan bersama.

Khaled berkata, platform seperti Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Tafahum Siyasi boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh kerjasama berkenaan.

“Matlamatnya adalah untuk membina suara politik Melayu yang lebih kuat dan bersatu, tanpa menafikan perbezaan ideologi serta keanggotaan parti politik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles