​‘Ada Pihak Mahu Talkinkan UMNO, Akhirnya Mereka Ditalkinkan Sendiri’ – Tok Mat

​KUALA LUMPUR: UMNO mengingatkan semua ahlinya supaya tidak meletakkan harapan kepada ihsan atau bantuan pihak luar untuk membangunkan semula parti itu.

​Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti berkenaan perlu bergantung kepada kekuatan sendiri kerana tiada mana-mana pihak luar yang mahu melihat UMNO bangkit semula.

​”Jangan kita mimpi di siang hari kerana tak ada satu mata pun, tak ada satu hati pun yang nak melihat kita bangkit semula. Semuanya nak melihat kita dibenamkan ataupun ditalkinkan.

​”Sudah banyak dulu nak talkinkan kita, tapi yang nak talkinkan kita itu dulu Datuk Seri Presiden, dia talkinkan diri dia sendiri… hancur dan bergaduh. Jadi UMNO tetap ada pada hari ini,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

​Mohamad yang juga Menteri Luar dan Ahli Parlimen Rembau menegaskan bahawa pembinaan kekuatan dalaman parti merupakan benteng utama dalam mengharungi pelbagai cabaran politik.

​”Bina kekuatan sendiri, jangan kita harapkan pertolongan atau bantuan orang lain atau parti lain. Binalah kekuatan dalaman kerana dengan membina kekuatan sendiri, kita dapat memastikan kekuatan itu dijadikan sebagai benteng untuk mengharungi apa jua yang akan kita hadapi.

​”Apabila kita kuat, maka orang tidak boleh memperkotak-katikkan kita,” ujarnya lagi.

​Beliau turut menambah bahawa era di mana satu parti boleh menubuhkan kerajaan secara bersendirian telah berlalu.

​”Zaman satu parti menubuhkan kerajaan pada hemat saya dah berlalu… Janganlah kita mimpikan satu parti boleh menubuhkan kerajaan.

​”UMNO tidak pernah mengharapkan ihsan orang. UMNO tidak ditubuhkan kerana kita nak minta ihsan, tetapi ditubuhkan kerana kita nak membela Melayu, bangsa dan agama,” tegas beliau.

​Mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, Mohamad menyeru semua jentera parti untuk turun membantu bagi memastikan kemenangan serta membina muafakat yang kukuh demi kepentingan rakyat dan parti.

BBerkaitan

Latest articles