‘Kalau Guru Kencing Berdiri, Kami Bukan Kencing Berlari’ – Zahid

​KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba mempertikaikan pembentukan dan keabsahan Kerajaan Perpaduan.

​Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pihak terbabit perlu menyemak semula dokumen Perjanjian Persefahaman Kerjasama sebelum mengeluarkannya sebarang kenyataan yang disifatkan sebagai tidak berasas.

​”Malah yang ada di India sekarang pun, apa yang dia tulis di situ? Dia suruh kita belajar daripada guru. Kita nak ingatkan guru itu, kalau guru kencing berdiri, kami bukan kencing berlari,” tegasnya.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada Sabtu.

​Ahmad Zahid turut membacakan semula klausa takrifan dalam perjanjian persafahaman berkenaan bagi membuktikan pembentukan kerajaan semasa adalah berlandaskan persepakatan bersama.

​”Perjanjian Persefahaman Kerjasama hendaklah bermaksud perjanjian ini dan apa-apa perjanjian tambahan yang dibuat selepas berkaitan dengan pembentukan dan operasi Kerajaan Perpaduan Malaysia.

​”Hei ‘ceplos-ceplos’, tengoklah ini dulu. Jangan minta kita keluar dari kerajaan. Mereka mencabar keluar daripada kerajaan kalau berani.

​”Barang harus diingat wahai ‘ceplos-ceplos’, Kerajaan Perpaduan Malaysia ini jadi sebab UMNO tahu. Perdana Menteri jadi Perdana Menteri sebab sokongan UMNO, tahu?” katanya lagi.

​Dalam ucapannya, beliau turut menyuarakan rasa kagum terhadap kualiti perbahasan para jurucakap sepanjang PAU 2026 yang disifatkannya lebih berfokus kepada usaha memperkukuhkan parti dan membela rakyat demi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

​”Kita tidak sibuk pun untuk mengajar parti lain bagaimana mentadbirkan parti masing-masing. Kita cuma membincangkan bagaimana memperkukuhkan UMNO, membela rakyat dan menghadapi PRU16.

​”UMNO ada kemerdekaan politik kita sendiri bagi menentukan hala tuju kita sendiri. Rumah ini ada tuannya. Rumah UMNO ini ada tuannya, tuan UMNO ialah ahli-ahli UMNO di seluruh negara,” tambah beliau.

BBerkaitan

Latest articles