Elak Berpecah, Penyatuan Melayu Jamin Keyakinan Sabah, Sarawak

​KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan bahawa penyatuan bangsa Melayu amat kritikal bukan sahaja bagi menguatkan kedudukan politik bangsa induk, malah untuk memastikan kuasa pemerintahan negara kekal dihormati oleh rakan gabungan di Sabah dan Sarawak.

​Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perpecahan berterusan dalam kalangan orang Melayu hanya akan mempamerkan kelemahan kepimpinan di Semenanjung sekali gus melunturkan keyakinan dua wilayah berkenaan.

​”Apabila kuasa politik Melayu mula berjempara, berantakan dan berpecah, kita sedang mempamerkan kelemahan kita sebagai bangsa induk dan pemerintah yang berwibawa.

​”Jika kita tidak boleh mengurus Melayu dengan baik, bagaimana kita akan meyakinkan rakan di Sabah dan Sarawak untuk terus yakin dengan kita bagi menerajui pemerintahan Malaysia? Perpecahan ini akan mengurangkan rasa hormat dan yakin mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.

​Ahli Parmen Kota Tinggi itu menambah, penyatuan yang dibawakan parti bukannya sekadar slogan atau jenama politik, sebaliknya ikhtiar ikhlas merentas masa, usia dan pegangan politik demi memulihkan semula kuasa yang terhakis.

​Sehubungan itu, beliau memberikan sokongan penuh kepada tiga pendekatan utama yang digariskan Presiden UMNO bagi mengurus kesatuan bangsa secara berkesan.

​”Rumah Bangsa memperkasakan UMNO sebagai wadah paling stabil dan berpadu yang mampu menarik seluruh orang Melayu untuk bernaung.

“​Musyawarah Nasional meletakkan isu serta kepentingan teras Melayu untuk diperjuangkan secara bersama melalui satu suara.

“​Tahafum Siyasi mengukuhkan kerjasama politik demi kepentingan bangsa tanpa perlu meleburkan identiti mahupun ideologi parti masing-masing.

​”Melalui tiga mekanisme ini, kita sebenarnya ingin membina kekuatan politik yang ampuh. Kita boleh lihat pendekatan politik kaum lain, mereka mungkin berada dalam parti berbeza atau bertikam lidah, namun tidak pernah berpecah apabila melibatkan isu kepentingan bangsa mereka.

​”Penyatuan Melayu yang dituntut agama dan perlembagaan ini adalah satu-satunya jalan untuk mengembalikan kuasa politik kita secara terpadu dan kukuh,” jelas beliau.

BBerkaitan

Latest articles