KUALA LUMPUR: Tiada satu formula khusus yang boleh diguna pakai di semua tempat dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata strategi parti perlulah fleksibel dan disesuaikan mengikut dinamik serta kehendak politik di negeri masing-masing.
​”Jangan mengharap ehsan orang dan jangan ada sedetik pun dalam hati kita bahawa kita memerlukan orang lain. Kalau itu dapat ditanam, apa yang perlu kita lakukan ialah melakukan kerja secara berdisiplin dan terbaik mungkin.
​”Strategi biar Presiden dan pucuk pimpinan tentukan kerana tidak ada one size fits all atau satu formula khusus yang boleh kita guna pakai di semua tempat,” katanya.
​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
​Mengulas mengenai senario di Negeri Sembilan, Mohamad menjelaskan bahawa pendekatan berbeza perlu diambil kerana tiada sentimen “bangsa” khusus untuk menyatukan pengundi seperti di sesetengah negeri lain.
​”Di Negeri Sembilan tiada ‘bangsa Negeri Sembilan’ yang boleh dijadikan tautan atau mengumpul semua. Namun, apa yang kami baca di surau, masjid, majlis perkahwinan dan pasar malam adalah hasrat orang Melayu yang mahukan pertembungan antara parti teras Melayu dihentikan.
​”Dua kali pilihan raya sebelum ini kita kalah di tujuh kawasan DUN majoriti Melayu daripada 23 kerusi Melayu yang ada. Jadi formula yang kami pakai adalah untuk memastikan tiada pertembungan bagi mengelakkan kekeliruan pengundi Melayu,” jelasnya.
​Dalam pada itu, beliau turut menggesa parti-parti ‘tersebut’ untuk menguji keikhlasan persefahaman politik yang terjalin sebelum melangkah ke PRU16.
​”Persefahaman jangan kita sepihak sahaja… kita bersetuju tetapi pihak satu lagi mengambil untung sahaja.
​”Saya cadangkan selepas Melaka besok, kita cuba lihat sejauh mana keikhlasan kawan kita. Kita minta salah satu negeri SG4 (State Government 4) buat pilihan raya, contohnya di Terengganu, untuk tengok apa formula yang digunakan dan sejauh mana kejujuran itu,” katanya.
​Tambah beliau, setiap keputusan dan rundingan perlu dibuat secara bijaksana demi memastikan kemenangan parti tanpa merugikan UMNO.
​”Prinsipnya mudah, berniaga jangan rugi. Tak untung banyak tak apa, tetapi jangan rugi. Kita kena pastikan strategi kita membolehkan parti terus kukuh dan memimpin,” tegasnya.










