KUALA LUMPUR: Malaysia dilihat perlu mewujudkan satu undang-undang dan kerangka amalan yang khusus berkaitan pendanaan politik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketiadaan undang-undang khas berkaitan perkara itu akan menyebabkan dana politik selalunya dilihat sebagai tidak sah dan melibatkan pelbagai konflik kepentingan.
Sehubungan itu, kewujudan undang-undang berkenaan akan menjadikan negara tidak perlu lagi bermain-main dengan persepsi dan perbahasan tentang apakah sesuatu dana itu sah atau tidak, selain ada kelebihannya tertentu.
“Pertama, akan ada kriteria dan definisi yang jelas tentang bentuk dan saluran dana politik yang sah. Perkara ini membolehkan kita menghalang dan menghukum sebarang pemberian/penerimaan dana yang tidak mematuhi peruntukan yang jelas tersebut.
”Sebelum ini banyak ahli politik disiasat kerana dana yang disifatkan sebagai dana politik yang datangnya dari sumber-sumber seperti syarikat korporat, kutipan orang awam malah sumbangan dari entiti luar negara. Adakah semua itu sah atau tidak, ia tidak pernah jelas kepada kita.
”Kedua, kewujudan undang-undang khas dan jelas berkaitan pendanaan politik membolehkan proses semakan, audit serta laporan segala dana berkaitan politik diwajibkan ke atas semua parti politik.
”Amalan tersebut bukan sahaja menyebabkan pengurusan dana politik menjadi lebih telus dan tersusun, malah dapat mengelakkan sebarang penyalahgunaan dana kepada tujuan yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Yang ketiga, undang-undang pendanaan politik menggambarkan yang negara ini tidak berpura-pura dan berpijak di bumi yang nyata bahawa banyak aktiviti serta pergerakan politik memerlukan dana yang konsisten, jelas dan sah.
Khaled berkata, pergerakan politik tidak boleh bergantung kepada sumber wang yang tidak jelas, diragukan serta mempunyai konflik kepentingan yang serius.
Oleh sebab itu, pergerakan politik mesti beralih kepada amalan politik yang lebih matang, terbuka dan realistik.
Lantaran itu, katanya kesemua ahli dan parti politik mesti bersedia untuk membincangkan perkara ini dengan jujur dan serius.