Ketua Amanah Perlis Dilantik Pengerusi MADA Baharu

​KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Amanah Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang baharu.

​Pelantikan beliau diumumkan oleh MADA menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi agensi berkenaan bagi merakamkan ucapan tahniah mewakili seluruh warga kerja dan peladang agensi itu.

​MADA dalam kenyataan tersebut memaklumkan, pelantikan Wan Kharizal diharap mampu memberikan dorongan baharu dalam memperkukuh peranan agensi memperkasakan sektor pertanian tempatan.

​”Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh usaha MADA dalam menangani cabaran sektor padi serta memastikan keperluan, kebajikan dan kepentingan peladang di Kawasan Muda terus diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

​Wan Kharizal, 63, merupakan tokoh politik veteran yang konsisten dalam arena politik negara dan kini mengetuai Amanah di negeri Perlis.

​Berdasarkan rekod penglibatan dalam pilihan raya, beliau pernah bertanding sebanyak enam kali mewakili gabungan parti pembangkang dan Pakatan Harapan (PH) sejak tahun 1999 hingga 2022.

​Antara kerusi yang pernah ditandingi beliau termasuk Kerusi Parlimen Padang Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) serta beberapa Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis seperti Chuping (PRU10), Mata Ayer (PRU12), Beseri (PRU13 dan PRU14) serta Kayang (PRU15).

BBerkaitan

Latest articles