Kes Pengubahan Wang Haram: Ag Mohd Tahir Dipenjara 8 Tahun, Denda RM284.3 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah Jabatan Air Sabah dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 96 tahun atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini, selain denda RM284.3 juta.

Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, bagaimanapun hanya akan menjalani hukuman penjara selama lapan tahun selepas Hakim Abu Bakar Manat memerintahkan hukuman penjara bagi semua 12 pertuduhan itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara 78 bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan mahkamah.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Ag Mohd Tahir untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Terdahulu, Ag Mohd Tahir didapati bersalah atas semua 12 pertuduhan selepas hakim memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, khususnya berkaitan elemen penting dalam pertuduhan.

Mahkamah turut memutuskan penjelasan dan alasan dikemukakan Ag Mohd Tahir semasa pembelaannya hanyalah perkara yang dibangkitkan selepas kejadian berlaku, iaitu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan serbuan dan pemeriksaan di pejabat, rumah dan kenderaannya.

Hakim berkata mahkamah melihat penjelasan itu sebagai suatu yang difikirkan kemudian dan mendapati ia tidak mencukupi untuk menimbulkan keraguan munasabah atau menyangkal keterangan yang dikemukakan saksi pendakwaan.

Sementara itu, isteri Ag Mohd Tahir, Fauziah Piut, 61 dan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng, 72, yang dibicarakan bersama dalam kes pengubahan wang haram itu, masing-masing dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Mahkamah memutuskan adalah tidak selamat untuk mensabitkan mereka.

Fauziah turut dibebaskan daripada dua pertuduhan bersama Ag Mohd Tahir selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen niat bersama.

Ketiga-tiga mereka didakwa pada 28 Disember 2016 dan semuanya mengaku tidak bersalah.

Ag Mohd Tahir sebagai tertuduh pertama menghadapi 11 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta yang sama.

Fauziah sebagai tertuduh kedua menghadapi 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) akta yang sama.

Fauziah turut menghadapi dua pertuduhan bersama Ag Mohd Tahir di bawah Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan yang didakwa melibatkan Ag Mohd Tahir dan isterinya dikatakan dilakukan di pejabatnya di sini, sebuah rumah di Sembulan, beberapa cawangan bank, sebuah kondominium di Sulaman dan sebuah menara di Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016.

Lam Beng pula menghadapi empat pertuduhan kerana didakwa memiliki sebuah Toyota Land Cruiser, wang tunai RM200,000, RM1.9 juta dan RM280,000 yang dipercayai hasil aktiviti haram di pejabat SPRM, Jalan UMS dan sebuah rumah di sini antara 13 Oktober hingga 8 November 2016.

Selepas beberapa siri penangguhan, perbicaraan bermula 7 Mei 2018 dengan pihak pendakwaan memanggil 46 saksi.

Semasa pembelaan, peguambela memanggil 15 saksi termasuk beberapa saksi terkenal seperti bekas Ketua Menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri, Raymond Tan Shu Kiah.

Fauziah hanya memberi kenyataan tidak bersumpah semasa pembelaannya dan selebihnya bergantung kepada saksi yang dipanggil oleh Ag Mohd Tahir, manakala Lam Beng memberi kenyataan bersumpah sebagai satu-satunya saksi dalam pembelaannya.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T Rining dan Noorsyazwani Sapri.

Lam Beng pula diwakili peguam Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong.

BBerkaitan

Latest articles