PAS tegaskan politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam, umum tamat ta’awun dengan BERSATU

KUALA LUMPUR,– PAS menegaskan perjuangan politik parti itu tidak boleh dipisahkan daripada Islam sebagai al-din (cara hidup), sambil mempertahankan keputusan menamatkan kerjasama politik atau ta’awun siyasi dengan BERSATU atas alasan prinsip dan maslahat perjuangan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata segala keputusan parti adalah berpandukan al-Quran, sunnah dan ijtihad ulama, sekali gus membezakan PAS daripada parti yang mengamalkan pendekatan sekular.

Dalam Minda Presiden PAS yang diterbitkan hari ini, beliau berkata politik merupakan sebahagian daripada tuntutan agama dan tidak boleh dipisahkan daripada dakwah serta tanggungjawab memerintah secara adil.

Mengulas hubungan PAS dengan BERSATU, Abdul Hadi berkata keputusan menamatkan ta’awun siyasi dibuat selepas penelitian oleh Majlis Syura Ulamak yang mendapati kerjasama itu tidak lagi memenuhi tuntutan syarak serta matlamat asal penyatuan umat Islam.

Beliau mendakwa BERSATU telah menyimpang daripada tujuan asal kerjasama apabila lebih mengutamakan perebutan kuasa dan pembahagian kerusi berbanding agenda perpaduan umat Islam.

Menurutnya, PAS turut mendakwa BERSATU menghalang usaha memperluaskan kerjasama dengan parti-parti Melayu Islam lain termasuk BERJASA, PEJUANG, IMAN, PUTRA serta MIC sebagai rakan bukan Islam yang disifatkan tidak ekstrem.

Abdul Hadi juga mendakwa pembahagian kerusi pilihan raya oleh BERSATU dibuat tanpa mengambil kira kekuatan jentera dan keupayaan calon, selain menimbulkan beban kepada jentera PAS sepanjang kempen pilihan raya.

Beliau turut mengaitkan beberapa perkembangan politik, termasuk dakwaan tindakan menarik balik akuan berkanun (SD) dalam usaha mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan serta isu dalaman BERSATU yang menurutnya menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional.

Katanya, PAS telah beberapa kali membangkitkan isu berkenaan melalui mesyuarat dan perbincangan dengan kepimpinan BERSATU, namun tiada perubahan yang memuaskan sehingga parti itu memutuskan untuk menamatkan kerjasama.

Abdul Hadi berkata keputusan tersebut dibuat selepas Majlis Syura Ulamak menjalankan proses muhasabah, tabayyun dan kajian berdasarkan prinsip maqasid syariah serta siasah syariah.

Beliau berkata PAS akan terus membuka ruang kerjasama dengan mana-mana pihak yang bersedia menerima prinsip perjuangan parti, khususnya dalam agenda memperkukuh perpaduan umat Islam dan kerjasama dalam masyarakat majmuk.

Menurutnya, meskipun menamatkan kerjasama dengan BERSATU, PAS mendakwa tidak mengalami kerugian politik, malah berjaya memperkukuh kedudukannya sehingga menguasai empat negeri, muncul sebagai parti yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak serta memperluaskan pengaruh ke Sabah.

Beliau menegaskan PAS akan terus beristiqamah dengan prinsip perjuangannya dan tidak akan memisahkan politik daripada Islam dalam menentukan hala tuju parti pada masa hadapan.

BBerkaitan

Latest articles