SEREMBAN – Krisis adat yang berlaku di Negeri Sembilan perlu diselesaikan menerusi muafakat pemimpin adat dan anak buah tanpa campur tangan ahli politik bagi memastikan kelangsungan institusi adat terus dipelihara.
Ahli Dewan Negara, Dr Jufitri Joha berkata pendirian itu dicapai menerusi Sidang Meja Bulat (RTD) yang menghimpunkan cendekiawan, pengkaji, pengamal adat, pemimpin masyarakat dan pempengaruh media sosial bagi membincangkan isu berkenaan secara ilmiah dan berasaskan fakta.
Beliau berkata penyelesaian terbaik perlu dikembalikan kepada pemimpin adat serta proses pemulihan pusaka melalui permuafakatan dalam kalangan anak buah.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri boleh memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan perkenan kedua-dua institusi, iaitu Yang Dipertuan Besar dan Undang, bagi membuka ruang dialog serta rundingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perbincangan RTD turut memberi penekanan kepada penyelesaian jangka panjang bagi merejuvenasi institusi adat serta meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan Adat Perpatih.
Hasil perbincangan itu, enam cadangan dikemukakan, antaranya mendokumentasikan garis panduan pelantikan pemimpin adat di setiap luak, menubuhkan institut penyelidikan adat, mewujudkan jawatan penasihat adat kepada kerajaan negeri serta menubuhkan balai adat di setiap luak sebagai pusat rujukan dan perbincangan.
Cadangan lain termasuk mewujudkan Majlis Adat Perpatih Negeri Sembilan di bawah Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bagi menyelaras pentadbiran adat, selain memperkukuh pendidikan adat dalam kalangan generasi muda menerusi penyelarasan oleh Yayasan Negeri Sembilan.
Jufitri berkata RTD turut bersetuju menubuhkan Sekretariat Adat Warisan Pusaka Alam Nismilan sebagai platform tidak formal bagi memastikan semua cadangan itu diberi perhatian dan dilaksanakan.
Beliau berkata kegagalan menangani isu berkenaan dikhuatiri akan menyebabkan institusi adat dipandang rendah oleh pihak yang tidak memahami kepentingannya.
“Institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan empat Undang perlu terus dipertahankan serta diperkasakan agar kekal relevan seiring dengan pentadbiran moden negeri,” katanya.










