FMM Gesa Langkah Segera Berhubung Krisis Asia Barat

KUALA LUMPUR, – Krisis yang berpanjangan di Asia Barat kini mula memberi kesan lebih besar terhadap daya saing sektor pembuatan negara apabila semakin banyak syarikat kehilangan tempahan, pelanggan serta terpaksa menghentikan pengeluaran produk tertentu.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata dapatan Tinjauan Ketiga Impak Krisis Asia Barat terhadap sektor pembuatan, perdagangan dan rantaian bekalan mendapati gangguan yang pada awalnya tertumpu kepada peningkatan kos kini berkembang menjadi kerugian komersial yang boleh menjejaskan daya saing eksport negara dalam jangka panjang.

Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata sebanyak 87 peratus daripada 196 syarikat yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu melaporkan keadaan operasi sama ada terus merosot atau kekal mencabar, manakala 65 peratus tidak melihat sebarang penambahbaikan dalam operasi sejak awal Mei lalu.

Menurut beliau, sebanyak 74 peratus responden masih menanggung kos pengeluaran antara 10 hingga 50 peratus lebih tinggi berbanding sebelum konflik tercetus, dengan kos pengangkutan dan logistik kekal sebagai tekanan terbesar, diikuti kekurangan bahan mentah serta peningkatan kos tenaga.

“Tinjauan kali ini menunjukkan tekanan kos bukan lagi cabaran sementara, sebaliknya telah bertukar menjadi kerugian komersial yang sebenar.

“Hanya enam peratus pengeluar mampu memindahkan peningkatan kos kepada pelanggan tanpa menjejaskan margin keuntungan, manakala 58 peratus beroperasi pada tahap pulang modal atau lebih rendah bagi produk yang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata sebanyak 39 peratus syarikat telah kehilangan tempahan kepada pesaing di pasaran yang kurang terkesan, 19 peratus menghentikan pengeluaran produk yang tidak lagi berdaya maju, manakala sembilan peratus kehilangan sekurang-kurangnya seorang pelanggan utama atau kontrak penting.

Selain itu, krisis berpanjangan turut mula mempengaruhi keputusan pelaburan dan tenaga kerja apabila 42 peratus syarikat melaksanakan pelarasan tenaga kerja termasuk pembekuan pengambilan pekerja dan pengurangan waktu bekerja, manakala 41 peratus menangguhkan atau membatalkan pelaburan serta projek automasi dan peluasan operasi.

FMM berkata walaupun kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah bantuan termasuk kemudahan pembiayaan khas Bank Negara Malaysia serta usaha memudah cara sumber bahan mentah alternatif, masih terdapat jurang sokongan khususnya kepada syarikat pengeluar bersaiz sederhana yang tidak layak menerima bantuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sehubungan itu, FMM menggesa kerajaan mempertimbangkan enam langkah utama termasuk pelepasan duti dan cukai bagi bahan mentah alternatif, potongan cukai berganda untuk kos pengangkutan berkaitan krisis, bantuan kos bahan api industri, skim pembiayaan khusus bagi pengeluar bersaiz sederhana, penangguhan kenaikan tarif pelabuhan serta program pemadanan pembekal tempatan bagi mengukuhkan rantaian bekalan domestik.

Menurut FMM, campur tangan yang tepat pada masanya amat penting bagi mengelakkan gangguan sementara bertukar menjadi kelemahan struktur yang boleh menjejaskan pelaburan, pekerjaan, kapasiti industri dan keyakinan pelabur terhadap sektor pembuatan Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles