KUALA LUMPUR: Kes kemalangan maut melibatkan pasangan suami isteri yang dirempuh sebuah kereta di Jalan Ampang kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tindakan itu diambil susulan perkembangan siasatan terhadap pemandu lelaki berusia 24 tahun yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
Suspek yang sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur telah ditahan selepas dibenarkan keluar wad dan tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee.
Menurut beliau, mahkamah membenarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 11 Mei bagi membantu siasatan lanjut, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.34 pagi Sabtu lalu, pasangan berusia 61 dan 56 tahun itu maut selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta jenis Toyota Vios berhampiran Menara Great Eastern.
Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu suspek hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.
Suspek serta dua penumpang lain turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital.










