KUALA LUMPUR: Kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan akan terus diperkukuh selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk mengekalkan persefahaman sedia ada.
Keputusan itu dimeterai dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua parti turut bersetuju untuk menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh Biro Politik masing-masing berhubung isu berkaitan pentadbiran di negeri itu.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan,” demikian menurut kenyataan bersama diumumkan oleh Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.










