Kerjasama Boleh Berlangsung Tanpa Mengira Perbezaan Kerajaan Negeri

KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri ke Kelantan yang kini dilanda banjir membuktikan kerajaan pusat bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kelantan menjadi negeri pertama yang dikunjunginya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Lawatan saya ke Kelantan bukti kesediaan saya untuk bekerjasama dengan semua. Saya sudah beritahu sebelum ini, tugas saya sebagai Perdana Menteri adalah berusaha mentadbir dan mengurus negara dengan sebaik mungkin.

“Soal pilihan raya rakyat yang memilih. Tanggungjawan saya selepas diberi amanah adalah mengurus dengan baik tanpa mengira negeri mana.

“Tumpuan saya di Kelantan adalah soal banjir memandangkan negeri ini banjir. Kalau bercakap soal pelabuhan mungkin sesuai di Johor, kita ikut keutamaan,” katanya di sidang media ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Tengku Panglima Raja, hari ini.

Perdana Menteri ditanya mengenai lawatannya ke Kelantan walaupun ditadbir oleh pembangkang.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainin Husin.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga melawat mangsa banjir di Kelantan.

Mengulas lanjut, Anwar turut bersedia menerima kunjungan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi membincangkan isu pembangunan negeri itu.

“Saya beri jaminan bukan sahaja hari ini, tetapi pada masa depan sekiranya ada keperluan saya sedia menerima beliau sama ada di pejabat untuk berbincang hala tuju untuk kepentingan rakyat dan pembangunan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles