Kerjasama BN-PN Di Melaka Ikut Situasi Politik Negeri, Bukan Salin Formula Johor-N. Sembilan

ALOR SETAR: Bentuk kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum dimuktamadkan kerana ia perlu disesuaikan dengan landskap politik semasa di negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pendekatan yang digunakan di Johor dan Negeri Sembilan tidak boleh diterapkan secara terus di Melaka memandangkan setiap negeri mempunyai realiti politik yang berbeza.

Menurutnya, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pimpinan BN telah menyatakan hasrat mengenai kerjasama itu, namun bentuk dan mekanismenya masih belum diputuskan.

“Melaka perlu dilihat berdasarkan waqi’ atau keadaan semasa. Kedudukan politik di negeri itu berbeza kerana BN mempunyai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Pada masa sama, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah optimis kerjasama BN-PN mampu memberikan saingan lebih sengit di Melaka susulan prestasi memberangsangkan gabungan itu pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya tersebut menunjukkan gabungan berkenaan berjaya meningkatkan sokongan pengundi, termasuk di kawasan yang sebelum ini dianggap kubu kuat pembangkang.

“Dulu di kawasan DAP kita sukar mendapat sokongan, malah ada yang hilang deposit. Kini kita berjaya menembusi kawasan itu dan turut meningkatkan jumlah undi di kerusi yang dimenangi DAP. Rakyat sudah mula melihat perubahan dan kita harap momentum itu dapat diteruskan di Melaka,” katanya.

Sebelum ini, BN dan PN kembali menguasai Negeri Sembilan selepas memperoleh kemenangan dua pertiga pada PRN, apabila BN memenangi 18 kerusi DUN manakala PN meraih tujuh kerusi.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata model kerjasama BN-PN yang dilaksanakan di Johor dan Negeri Sembilan tidak semestinya akan diulangi di Melaka kerana ia bergantung kepada perkembangan serta keadaan politik di negeri berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles