Kerjasama BN-PN Aset Penting Kestabilan, Kerajaan Inklusif — Tok Det

SEREMBAN: Kerjasama dan persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai jawapan kepada pembentukan kerajaan yang lebih kukuh serta inklusif demi masa depan rakyat dan negara.

​Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, gagasan dan persefahaman berkenaan bukan sahaja mencerminkan perpaduan kaum, malah menterjemahkan kefahaman pimpinan mengenai realiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

​Beliau menegaskan, kerjasama itu tidak wajar dilihat dari sudut yang sempit atau bertolak teras daripada satu-satunya kaum sahaja, sebaliknya ia manifestasi perkongsian kuasa yang telah lama menjadi acuan kestabilan negara.

​”Negara kita ini majmuk dan pimpinan BN serta PN faham bahawa walaupun majoriti rakyat adalah Melayu, kita tidak pernah mengabaikan kaum-kaum lain seperti Cina, India dan pelbagai etnik di Sabah serta Sarawak.

​”Oleh itu, dakwaan sesetengah pihak yang cuba melabelkan kerjasama ini sebagai ekstremis atau melampau adalah tidak tepat sama sekali,” katanya ketika berucap pada Ceramah Biru-Kan Sikamat di sini, malam tadi.

​Mahadzir berkata, kesepakatan yang dicapai di peringkat tertinggi parti membolehkan pembahagian kerusi dilaksanakan secara adil bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

​Mengulas mengenai pilihan raya di kawasan berkenaan, beliau menyeru para pengundi di DUN Sikamat supaya memberikan sokongan padu kepada calon Perikatan Nasional (daripada Parti Wawasan Negara), Datuk Razali Abu Samah.

​Kerusi DUN N13 Sikamat menyaksikan saingan sengit tiga penjuru melibatkan Datuk Razali Abu Samah, bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, yang bertanding mewakili PN, menentang calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad, serta Datuk Tun Faisal Ismail Aziz daripada Bersatu.

BBerkaitan

Latest articles