Kerajaan Tolong Melayu, Islam, DAP Tak Pernah Bising

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan rakan komponen di dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP bahawa parti itu tidak pernah angkuh di dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Barisan Nasional (BN).

Bahkan, parti itu juga tidak membantah usaha kerajaan membantu menaikkan bantuan kepada pesawah, nelayan dan peneroka yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu.

“Orang duk (asyik) bangkit (kata) DAP, DAP, DAP. Saya hendak beritahu, DAP itu ada 40 Ahli Parlimen, tidak angkuh dalam mesyuarat, (boleh) tanya kawan-kawan kita (ahli parlimen lain), (DAP) bincang dengan baik.

“Program-program menaikkan harga padi, bagi (bantuan) nelayan, RM8.3 bilion untuk (tolong) Felda, Loke (Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook) tak bantah pun.

“Yang dia minta supaya kita anggap anak Cina, India, itu sebagai keluarga kita (untuk) dijaga bersama, itu sahaja,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan beberapa calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 12 Ogos ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan modal ‘Undi UMNO dapat DAP’ dan sebaliknya yang digunakan parti lawan untuk meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah cubaan memesongkan pemikiran rakyat dan tidak matang.

Ujarnya, tindakan itu juga menunjukkan pemimpin pembangkang sudah ketandusan modal dan cuba memperbodohkan rakyat.

Sedangkan, DAP langsung tidak meletakkan calon di Kelantan serta Terengganu, sebaliknya semua calon Barisan Nasional (BN) diwakili UMNO dan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH), sebagai menunjukkan rasa hormat mereka kepada masyarakat setempat.

BBerkaitan

Latest articles