Kerajaan Tidak Bercadang Untuk Tetapkan Harga Tiket Penerbangan – Anthony Loke

SEPANG: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan tidak bercadang untuk menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan kerana ia akan memberi implikasi negatif kepada penumpang.

Loke juga meluahkan kebimbangan sekiranya langkah itu dilaksanakan, syarikat penerbangan akan mengurangkan kapasiti mereka.

“Perkara ini sudah dibincang banyak kali, dan pada masa ini tidak ada perancangan untuk menetapkan sebarang harga siling tiket bagi syarikat penerbangan kerana mereka beroperasi berdasarkan harga yang dinamik.

“Jadi kalau kita letakkan harga siling, akan ada implikasi negatif kepada penumpang yang mana kapasiti mereka akan dikurangkan. Tiada syarikat penerbangan yang beroperasi yang mahu menanggung rugi.

“Dari segi harga, pastinya ada peningkatan setiap kali musim perayaan, namun bagi waktu-waktu lain harga tiket masih berpatutan.

“Sebab itu kita mengharapkan syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan jadi harga tiket akan lebih mampu dibeli orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman penerbangan tambahan AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di AirAsia RedQ, hari ini.

Katanya, kementerian faham bukan semua syarikat penerbangan mempunyai lebih 100 pesawat, malah selepas pembukaan sektor ekonomi, ada yang masih beroperasi pada kadar 50 peratus kapasiti.

“Menuju ke hadapan, dengan peningkatan jumlah trafik, saya yakin semua syarikat akan beroperasi dengan kapasiti penuh, lebih banyak pesawat tersedia untuk penerbangan,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles