Dakwa Hajiji Dalang Skandal Mineral – G57 Lapor Polis Terhadap Albert Tei

​KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tampil membuat laporan polis berhubung hantaran video tular di platform Facebook oleh ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheng berhubung dakwaan fitnah jenayah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

​Laporan berkenaan dibuat susulan hantaran video yang dimuat naik individu terbabit yang tertera teks pernyataan “Sekumpulan Lanun Dan Perompok Kononnya Pemimpin GRS Hadiri Kongres Nasional PKR” yang kini dikesan tular serta dikongsi hampir 860 pengguna media sosial.

​Menurut pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, kandungan video berkenaan melempar tohmahan berniat jahat kononnya kehadiran Hajiji ke Kongres Nasional PKR bertujuan menyekat pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dihadapkan ke mahkamah, selain mendakwa beliau dalang skandal rasuah mineral di Sabah.

​Beliau menegaskan bahawa segala kenyataan dikeluarkan individu berkenaan merupakan satu rekaan fitnah berunsur dendam peribadi susulan tindakan berintegriti Ketua Menteri Sabah yang menolak cubaan rasuah serta membatalkan lebih 10 lesen mineral milik individu terbabit demi memelihara khazanah negeri.

​”Tuduhan yang mengaitkan Ketua Menteri dengan skandal mineral tersebut adalah satu fitnah jahat yang bermotifkan dendam peribadi dan niat tersirat ekoran tindakan berintegriti Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menolak cubaan pemberian rasuah serta bertindak tegas membatalkan lesen mineral milik penama.

​”Di peringkat mahkamah setakat ini, penama Albert Tei sendiri tidak pernah membuat sebarang pengakuan bahawa beliau pernah memberikan wang kepada mana-mana wakil rakyat GRS, malah Ketua Menteri tidak pernah sama sekali menerima walaupun 10 sen wang daripada penama tersebut,” katanya.

​Zulkarnain berkata demikian selepas tampil membuat laporan polis berhubung isu berkenaan di Balai Polis Sri Petaling, hari ini.

​Sehubungan itu, beliau mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka kertas siasatan secara menyeluruh, tegas dan telus di bawah Seksyen 499 serta 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

​”Tohmahan tidak berasas ini secara jelas merupakan satu bentuk pembunuhan karakter bagi memusnahkan kredibiliti dan nama baik Ketua Menteri Sabah, di samping berniat mencetuskan ketenteraman awam dengan menghasut masyarakat untuk membenci pimpinan kerajaan yang sah.

​”Sehubungan itu, kami turut menyerahkan salinan cetakan tangkapan skrin hantaran berkenaan berserta maklumat pautan digital berkaitan sebagai bukti awal untuk tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles