KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa beliau mendengar khabar angin mengenai persidangan Lembaga Pengampunan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.
Menurut Ahli Parlimen Stampin itu, permohonan pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut berada dalam agenda mesyuarat berkenaan.
“Dengar kata Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat Jumaat ini dan pengampunan Najib ada dalam agenda.
“Adakah Yang di-Pertuan Agong akan mengampunkan beliau?” kata Chieng Jen menerusi satu hantaran ringkas di laman Facebook beliau.
Hantaran berkenaan telah menarik perhatian ramai warga maya yang turut memberikan pelbagai reaksi berhubung spekulasi dan perkembangan terkini kes berkenaan.
Semalam, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan menegaskan pendirian bahawa individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya melibatkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah secara sepenuhnya.
PH menegaskan, pendirian itu selaras dengan komitmen gabungan berkenaan yang sejak awal memperjuangkan reformasi institusi, tatakelola baik dan penolakan terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.
Menurut kenyataan itu lagi, prinsip kedaulatan undang-undang menuntut agar proses kehakiman yang berjalan diberikan ruang untuk diselesaikan secara bebas tanpa persepsi wujud pertimbangan lain.
“Ini penting buat Malaysia yang berada dalam fasa pemulihan untuk memperkukuh tatakelola dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Maka, sebarang keputusan dalam kes-kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda tersebut,” menurut kenyataan itu.
Majlis Setiausaha PH turut menambah bahawa beberapa kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini telah memberi kesan besar kepada imej serta reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, PH memberikan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam membanteras rasuah dan ketirisan, selain menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh tanpa kompromi.










