Keputusan Rayuan Ibu Zayn Rayyan Ditetapkan 28 September

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 September depan sebagai tarikh keputusan rayuan Ismanira Abdul Manaf untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.

Hakim Noor Hisham Ismail menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan pada prosiding, hari ini.

“Saya perlukan sedikit masa, jadi mahkamah menetapkan keputusan pada 28 September depan,” katanya.

Ismanira, 31, diwakili barisan peguam diketuai Tiara Katrina Fuad, Haijan Omar, Lavanesh Haresh dan Haresh Mahadevan.

Pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bersama tiga lagi pendakwa raya.

Zayn Rayyan, kanak-kanak autisme berusia enam tahun, ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada malam 6 Disember 2023, sehari selepas dilaporkan hilang.

Susulan kejadian itu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan, 31, didakwa bersama di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 13 Jun 2024 kerana didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan pada 21 Julai 2025 selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadapnya sehingga memerlukan pembelaan.

Ismanira pula disabitkan bersalah dan pada 31 Oktober tahun lalu diperintahkan menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Wanita Kajang.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman hingga ke kawasan sungai berhampiran antara tengah hari 5 Disember 2023 dan 9.55 malam keesokannya.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles