Keputusan PRN Melaka Bawa Mesej Rakyat Tolak PH, Anwar – Hamzah

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan Perikatan Nasional-Barisan Nasional (PNBN) memenangi 24 daripada 28 kerusi dipertandingkan membawa mesej politik jelas mengenai penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kekalahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) di semua kerusi yang ditandingi memperlihatkan pola penolakan rakyat terhadap PH semakin ketara.

Beliau berkata, keputusan itu juga mencerminkan keinginan rakyat terhadap perubahan kepimpinan dan hala tuju negara.

“Ini bukan kebetulan politik, tetapi satu pola penolakan rakyat yang semakin nyata. Hakikatnya, PH bukan kerajaan pilihan rakyat.

“Bermula di Johor, diteruskan di Negeri Sembilan dan kini Melaka,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Menurut Hamzah, keputusan PRN Melaka turut membuktikan Parti Wawasan Negara sebagai parti nasional berwajah Malaysia semakin kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat.

Katanya, Wawasan Negara bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dengan majoriti lebih besar, malah memberikan saingan di DUN Kesidang yang menjadi kubu kuat DAP.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan politik inklusif berteraskan nilai dan agenda nasional mempunyai tempat dalam kalangan rakyat.

Hamzah turut mengaitkan perkembangan itu dengan kejayaan Wawasan Negara memenangi DUN Gemas serta merampas DUN Klawang dan Sikamat pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini.

Tegasnya, perjuangan parti itu tidak akan terhenti di Melaka, sebaliknya Gelombang Biru akan terus diperkukuhkan menerusi agenda Konsensus Nasional Baharu.

“Gelombang Biru akan diperkuatkan, Konsensus Nasional Baharu terus diperjuangkan dan dengan dukungan rakyat, langkah seterusnya ialah membawa perubahan ke Putrajaya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles