Harga sebuah kesombongan PH: Ilham Centre dipertikai, peti undi beri jawapan

Oleh Fakhrulazi Johan

Pakatan Harapan (PH) berhak mempertikaikan kajian pilihan raya. Namun, apabila keyakinan politik mengatasi kesediaan membaca amaran di lapangan, keputusan peti undi akhirnya menjadi teguran paling keras.

Itulah pengajaran daripada PRN Melaka. Ketika beberapa pemimpinnya masih bercakap mengenai kejutan dan peluang membentuk kerajaan, keputusan rasmi menunjukkan BN memenangi 21 kerusi dan PN tiga kerusi. PH hanya memperoleh empat daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.

Sehari sebelum pengundian, pada Jumaat, 13 November, Ilham Centre sudah mengunjurkan BN-PN mendahului di 24 kerusi. Kota Laksamana dan Bandar Hilir dinilai selesa buat PH, manakala Ayer Keroh dan Kesidang diletakkan dalam kategori persaingan sengit. Apapun jumlah akhir 24 kerusi BN-PN bertepatan dengan angka yang diketengahkan Ilham Centre sebelum pengundian.

Namun, respons Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, memperlihatkan keyakinan yang jauh berbeza. Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu membangkitkan percanggahan dapatan badan penyelidik, menyatakan PH masih berpeluang mencipta kejutan dan menyasarkan usaha mendapatkan majoriti 15 kerusi.

“Jangan sesekali memperlekehkan kehendak serta kebijaksanaan rakyat,” katanya.

Benar, rakyat menentukan keputusan. Tetapi penyelidikan pilihan raya juga berusaha memahami kecenderungan rakyat. Menerbitkan dapatan yang tidak menyebelahi PH bukan dengan sendirinya memperlekehkan pengundi.

Pada hemat penulis, kelemahan respons Kamil ialah kegagalannya menunjukkan mengapa bacaan Ilham Centre tersasar. Menyebut kemungkinan kejutan boleh menaikkan semangat jentera, tetapi tidak menjawab persoalan tentang kekuatan sebenar sokongan.

Kini, jurang antara sasaran membentuk kerajaan dengan pencapaian empat kerusi menjadikan keyakinan tersebut sukar dipertahankan. Kenyataan menjelang pengundian akhirnya menjadi ukuran betapa jauhnya harapan pemimpin daripada keputusan pengundi.

Di Bukit Katil, gambaran serupa muncul apabila Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, menolak pandangan bahawa kempen PH hambar. Beliau merujuk sambutan ceramah kelompok, capaian media sosial dan maklum balas positif terhadap perkhidmatan Adly Zahari. Kritikan yang dijawabnya itu datang daripada Ong Kian Ming.

Namun, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan bekas Ketua Menteri Melaka itu akhirnya gagal mempertahankan Bukit Katil. Kekalahan itu menjadikan keyakinan terhadap sambutan kempen dan maklum balas positif pengundi yang diketengahkan Faiz sukar dipertahankan.

Pengajarannya jelas: kempen yang kelihatan meriah kepada penganjur belum tentu mencerminkan sokongan majoriti. Pujian yang diterima calon juga tidak semestinya menjadi undi. Pemimpin yang hanya mendengar maklum balas menyenangkan berisiko tersalah membaca suasana.

Kekalahan PH lebih ketara apabila dilihat pada jurang undi di Duyong. Menurut laporan kiraan undi calon BN, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, memperoleh 15,064 undi, berbanding 4,997 undi calon PH, Poo Long Suan — menghasilkan majoriti 10,067 undi.

Angka itu memperlihatkan lonjakan besar berbanding majoriti hanya 200 undi yang dicatatkan BN di kerusi sama pada PRN 2021. Berdasarkan kiraan yang dilaporkan tersebut, Helmy meraih lebih tiga kali ganda undi lawannya. Beliau dikenali dengan pendekatan turun padang dan penggunaan media sosial untuk mengetengahkan khidmat masyarakat serta penyelesaian aduan penduduk.

Pada hemat penulis, Duyong memberikan teguran keras kepada PH: untuk menyaingi wakil rakyat yang membina hubungan dengan penduduk melalui perkhidmatan, keyakinan pemimpin dan slogan perubahan sahaja tidak mencukupi.

Jurang sebesar itu menuntut penelitian terhadap kelemahan sendiri. PH perlu menilai kekuatan calon, keberkesanan jentera dan kemampuan tawarannya meyakinkan pengundi. Mempertikaikan kajian tidak akan mengecilkan jarak sokongan yang muncul di peti undi.

Pertikaian terhadap kajian Ilham Centre turut berlaku menjelang PRN Negeri Sembilan. Pada 1 Ogos, Pengerusi PH negeri ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun, dilaporkan mempersoalkan saiz sampel kajian dan menegaskan analisis tersebut tidak menjejaskan sokongan kepada PH.

Ilham Centre ketika itu mengunjurkan BN-PN berpotensi menguasai sekurang-kurangnya 22 kerusi. Laporan susulan mengenai keputusan negeri tersebut merekodkan BN memperoleh 18 kerusi dan PN tujuh, menjadikan keseluruhannya 25. Arah kemenangan yang dijangka badan penyelidik itu selari dengan keputusan akhir.

Ini tidak menjadikan Ilham Centre kebal daripada kritikan. Semua badan penyelidik, termasuk Merdeka Center dan IDE, patut dinilai melalui kaedah, ketelusan dan ketepatan dapatan. Kritikan terhadap penyelidikan perlu menunjukkan kelemahan data atau analisis, bukannya sekadar menyatakan keputusan sebenar terletak di tangan rakyat.

Bagi PH, sikap terbuka terhadap dapatan yang tidak menyenangkan lebih berguna daripada mempertahankan gambaran bahawa semuanya masih baik. Amaran awal sepatutnya menjadi peluang membetulkan kempen, memperkemas tawaran dan mendekati kelompok pengundi yang semakin menjauh.

Persoalan lebih besar kini ialah sama ada PH akan “melingkup” jika PRU diadakan sekarang.

Keputusan Melaka memberikan amaran serius, tetapi belum cukup untuk menentukan keputusan seluruh negara. Unjuran nasional memerlukan data kerusi Parlimen, pola sokongan mengikut wilayah, kadar keluar mengundi dan bentuk kerjasama parti yang bakal bertanding.

Namun, ketidakpastian itu bukan alasan untuk PH berasa selesa. Bacaan politik penulis ialah gabungan tersebut berdepan risiko besar jika terus menjawab amaran dengan keyakinan kosong, tanpa membaiki kelemahan yang ditunjukkan pengundi.

Harga sebuah kesombongan politik bukan sekadar malu apabila kajian yang dipertikai terbukti tepat. Harganya ialah kehilangan peluang membetulkan keadaan ketika amaran sudah pun diberikan.

Di Melaka, PH menerima jawapan melalui peti undi. Persoalannya sekarang: adakah mereka mahu mendengar? Atau terus bermain ‘Saya tidak Sakau’!

Penafian: Artikel ini mencerminkan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian

BBerkaitan

Latest articles