Kemelut Adat NS: Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin Gantung Setiausaha DKU

​KUALA LUMPUR: Kemelut perlembagaan dan pentadbiran adat di Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila barisan Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin secara bulat mengumumkan penggantungan tugas Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin.

​Tindakan itu dizahirkan menerusi satu Kenyataan Media Bersama bertarikh hari ini, susulan kegagalan Setiausaha DKU terbabit menguruskan panggilan Sidang Mesyuarat Khas DKU yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Jumaat (29 Mei).

​Mengikut kenyataan itu, jawatan pesaka adat Raja Norazli didakwa telah dilucutkan mengikut lunas adat oleh Punca Kuasa yang sah atas keputusan majoriti ahli.

Malah, kumpulan pembesar adat terbabit turut mengisytiharkan segala surat-menyurat yang dikeluarkan atas nama DKU dengan tandatangan Raja Norazli selepas 17 April lalu adalah tidak sah kerana tanpa mandat muafakat.

​”Kami menegaskan bahawa DKU adalah hak mutlak adat ahli-ahli tetap yang termaktub di bawah Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

​”Oleh demikian, segala keputusan yang diambil oleh Setiausaha DKU bagi pihak dewan hendaklah dengan perkenan majoriti ahli dan bukannya merujuk membuta tuli kepada seorang atau dua individu sahaja,” menurut kenyataan bersama itu.

​Kenyataan media tersebut ditandatangani secara konsensus oleh Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; serta Dato’ Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Badarudin Abdul Khalid.

​​Dalam pada itu, kenyataan bersama tersebut turut menzahirkan kekecewaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri; dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang didakwa gagal bertindak neutral dalam menangani krisis adat berkenaan.

​Pihak pembesar adat mengingatkan pentadbiran kerajaan negeri agar tidak bertindak “lebih sudu daripada kuah” serta menghormati peruntukan Undang-Undang Tubuh 1959 yang menyatakan kuasa eksekutif negeri turut dikongsi bersama dengan Undang Yang Empat selaku Pemerintah Bersama (Co-Rulers).

​Bagi menyelesaikan pertikaian yang berlarutan, ahli majoriti DKU mengumumkan tarikh baharu bagi Sidang Mesyuarat Khas DKU yang akan diadakan pada Jumaat, 5 Jun 2026, jam 9.00 pagi bertempat di Balai Rasmi YTM Tunku Besar Tampin.

​Bagi memastikan ketelusan dan ketenteraman awam, sidang khas terbabit akan menjemput tiga figura tertinggi negara sebagai pemerhati bebas iaitu Ketua Setiausaha Negara (KSN), Peguam Negara, dan Ketua Polis Negara (KPN).

​Langkah itu diambil bersandarkan kuasa di bawah Perkara 24 Undang-Undang Tubuh bagi menjemput mana-mana pihak yang difikirkan munasabah untuk menghadiri persidangan.

​Untuk rekod, krisis perlembagaan di Negeri Sembilan mula tercetus pada pertengahan April lalu susulan pertikaian status kedudukan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Thahak, sebelum ia merebak kepada isu keabsahan tuntutan takhta pentadbiran adat dan membawa kepada penarikan sokongan politik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

BBerkaitan

Latest articles