Kelantan Wajibkan OCS Buat Sekurang-kurangnya Satu Tangkapan Dadah Sehari, Gagal Boleh Dikenakan Tindakan

KOTA BHARU: Polis Kelantan memperkenalkan pendekatan lebih agresif dalam memerangi penyalahgunaan dadah apabila mewajibkan setiap Ketua Polis Balai (OCS) membuat sekurang-kurangnya satu tangkapan berkaitan dadah setiap hari, berkuat kuasa mulai 15 Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Yusoff Mamat berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya mendapati jumlah tangkapan berkaitan dadah menunjukkan trend penurunan walaupun pelbagai operasi penguatkuasaan telah dipertingkatkan.

Menurutnya, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 13,957 kes dadah direkodkan berbanding 15,051 kes dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 13 peratus.

Pada masa sama, jumlah individu yang ditahan turut menurun 10 peratus kepada 14,640 orang berbanding 16,182 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Kita mengubah konsep operasi. Ketua Polis Balai perlu memainkan peranan lebih aktif kerana mereka paling mengetahui lokasi penagih dan kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan pentadbiran masing-masing.

“Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di setiap daerah pula akan memberi tumpuan kepada pembekal dan pengedar, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kelantan akan memfokuskan usaha membanteras sindiket dadah berskala besar,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Yusoff berkata, keberkesanan pelaksanaan strategi baharu itu akan dinilai selepas tempoh tiga bulan menerusi semakan prestasi serta bedah siasat operasi.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tatatertib boleh diambil terhadap pegawai atau anggota yang gagal memenuhi sasaran tangkapan yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Yusoff mendedahkan kes penipuan komersial atau scam di Kelantan mencatatkan peningkatan mendadak melebihi 100 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, sebanyak 1,480 kes direkodkan dengan nilai kerugian mencecah RM23.6 juta berbanding hanya 732 kes melibatkan kerugian RM17 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, antara modus operandi yang paling banyak dilaporkan ialah penipuan pelaburan, love scam, phone scam, tawaran pekerjaan palsu, pinjaman tidak wujud serta penipuan pembelian dalam talian.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan terus memperluaskan kempen kesedaran kepada masyarakat menerusi pelbagai platform termasuk media sosial, selain mengharapkan kerjasama media untuk membantu mendidik orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah menjadi mangsa sindiket penipuan.

BBerkaitan

Latest articles