TEMERLOH: Status keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka menjadi tumpuan apabila perkara itu bakal dibincangkan dalam Mesyuarat Tertinggi PN (MTPN) yang akan berlangsung malam esok.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang keputusan sama ada Bersatu akan terus kekal atau meninggalkan gabungan berkenaan terletak sepenuhnya di tangan parti itu sendiri.
Menurut beliau, antara agenda utama mesyuarat tersebut adalah membincangkan kedudukan keanggotaan dalam PN yang ketika ini dianggotai Bersatu, Pas, Parti India Malaysia (MIPP) dan Gerakan.
“Keanggotaan dalam PN merupakan antara perkara penting yang akan dibincangkan. Setakat ini, komposisi gabungan masih kekal seperti sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-40 Pas Kawasan Kuala Krau, hari ini.
Kenyataan itu hadir susulan desakan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mencadangkan agar parti berkenaan keluar daripada PN.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 13 Jun lalu menyatakan hubungan politik antara Pas dan Bersatu telah berakhir, sekali gus menyerahkan kepada Bersatu untuk menentukan hala tuju mereka dalam gabungan tersebut.
Bagaimanapun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kemudiannya menegaskan bahawa parti itu telah membuat keputusan untuk terus bersama PN serta akan menggunakan logo gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menegaskan tidak wujud sebarang alasan untuk Bersatu meninggalkan PN, malah beliau percaya tiada pihak yang mempunyai kuasa untuk menyingkirkan parti itu daripada gabungan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Samsuri memaklumkan rundingan pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan masih berlangsung dan belum dimuktamadkan.
“Perbincangan masih berjalan. Kita akan pastikan semuanya diselesaikan sebelum hari penamaan calon,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon bagi PRN Johor, manakala Negeri Sembilan pula akan menyaksikan proses tersebut berlangsung pada 18 Julai.










