SEREMBAN: UMNO Bahagian Seremban mengisytiharkan sokongan terbuka kepada calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Razali Abu Samah, susulan dakwaan kecewa terhadap kedudukan serta layanan yang diterima parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengumuman itu dibuat Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Maarop, dalam satu pertemuan khas bersama Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang turut dihadiri pimpinan bahagian serta Razali, yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Melaka.
Mazalan mendakwa keputusan itu lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap pembahagian kuasa dalam pentadbiran negeri yang menurutnya menyaksikan UMNO semakin dipinggirkan.
Katanya, daripada 24 ahli majlis yang dilantik, hanya lapan mewakili Barisan Nasional (BN), manakala selebihnya terdiri daripada parti komponen lain sehingga menyebabkan suara UMNO, khususnya pemimpin Melayu, tidak lagi mempunyai pengaruh dalam proses membuat keputusan.
“Kita tidak boleh buat keputusan apa-apa. Melayu UMNO dalam Barisan Nasional cuma ada enam orang sahaja (ahli majlis). Kita tak boleh buat keputusan apa-apa,” dakwanya.
Beliau turut mendakwa usaha mendapatkan pertemuan dengan Ahli Parlimen serta Menteri Besar Negeri Sembilan bagi membincangkan isu kebajikan rakyat dan parti tidak mendapat maklum balas, walaupun permohonan dibuat sejak hampir tiga tahun lalu.
Sehubungan itu, Mazalan menyeru seluruh jentera dan akar umbi UMNO Bahagian Seremban supaya memberikan sokongan penuh kepada Razali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, walaupun UMNO dan PN pernah berada di pihak yang berbeza, persefahaman kini diwujudkan atas matlamat bersama untuk menukar pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH).
Beliau turut memberi jaminan bahawa seluruh jentera UMNO Bahagian Seremban akan digerakkan bagi membantu kempen Razali sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian pada 1 Ogos nanti.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Seremban serta barisan ketua cawangan di sekitar DUN Sikamat.










