Kalau Berlaku PRU15, Bajet 2023 Tidak Akan Diluluskan Seperti Tahun 1999

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan Bajet 2023 yang dibentangkan hari Ini akan mengulangi insiden yang berlaku pada 1999 jika Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah ia juga akan menyebabkan Rang Undang-Undang tidak diluluskan.

Beliau turut menambah prosedur Bajet 2023 itu akan dirujuk kembali pada tahun tersebut kerana kerajaan pernah berdepan situasi sama sebelum ini.

“Soalan itu sepatutnya ditanya kepada Perdana Menteri namun ia pernah berlaku sebelum ini pada tahun 1999 dan kita akan imbas balik pada tahun itu.

“Ketika itu bajet telah dibentang dan Parlimen dibubarkan selepas itu di mana bajet pada tahun 1999 dibentang semula,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2023 di Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu Tengku Zafrul ditanya apa yang yang berlaku dengan Bajet 2023 sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat ini.

Untuk rekod Bajet 2000 dibentangkan pada 29 Oktober 1999 dan Parlimen dibubarkan pada 11 November 1999 dan PRU10 diadakan pada 29 November 1999.

Kemudian, bajet baharu yang serupa dengan yang dibentangkan pada Oktober 1999 telah dibentangkan semula pada 25 Februari 2000.

Bajet 2023 yang dibentangkan hari ini pula adalah tiga minggu lebih awal berbanding yang dijadualkan sebelum ini.

BBerkaitan

Latest articles