ISKANDAR PUTERI: Penjawat awam negeri Johor bakal menikmati bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bayaran bantuan khas kewangan itu akan dibayar dua kali iaitu pada akhir tahun ini dan menjelang Aidilfitri nanti.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 semasa Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.
Onn Hafiz berkata, bantuan khas itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada penjawat awam yang berkhidmat untuk pembangunan negeri itu.
“Bantuan berkenaan juga akan dipanjangkan kepada penjawat awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri, semua guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Islam Johor (TAJ).
“Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan penjawat awam yang menjalankan dasar-dasar bagi menjayakan agenda pembangunan dan kebajikan negeri,” katanya.